Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kluster kabinet ada pakatan singkir Zahid?

Kenyataan Annuar Musa di Facebooknya kelmarin berkenaan calon perdana menteri (PM) dan timbalan perdana meteri (TPM) daripada Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15, mencetuskan pelbagai reaksi.

Paling memancing perhatian, gambar-gambar yang dikongsikan menteri Wilayah Persekutuan itu bersama beberapa tokoh Umno, yang hampir semuanya merupakan menteri dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).

Tetapi, tiada gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mahupun timbalan presiden, Mohamad Hasan, sedangkan dua jawatan penting negara itu sebelum ini cukup sinonim dengan dua jawatan tertinggi di dalam parti berkenaan

Hantaran itu hadir di tengah suasana tegang antara dua puak di dalam Umno - kluster mahkamah dan kluster kabinet.

Ia menimbulkan tafsiran dan persoalan tersendiri.

Antaranya, ada yang mendakwa ia petanda bahawa ‘kluster kabinet’ - merujuk kepada pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kabinet PN - telah mengatur gerakan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dalam pemilihan Umno akan datang yang masih belum ada tarikh sebenar. 

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Awang Azman Awang Pawi, kemungkinan itu tidak boleh ditolak sepenuhnya, memandangkan memang ada gesaan yang datang daripada kumpulan berkenaan agar pemilihan Umno tidak ditangguhkan.

“Mereka tahu kelebihan yang mereka ada ialah mereka memegang jawatan kabinet yang banyak memberi mereka kelebihan daripada segi tawar-menawar dalam politik, jentera, dan mekanisme mendapatkan sokongan.

“Kita nampak kumpulan ini mungkin sudah merencanakan sesuatu dan memulakan politik berpuak dan boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Kenapa tak turut gesa buka parlimen?

Sedangkan, katanya, individu yang sama berada di dalam kabinet itu tidak pula menggesa agar Parlimen kembali dibuka segera bagi membolehkan wakil rakyat bersidang.

Walhal, tambahnya, penyegeraan pemilihan Umno yang didesak oleh mereka itu akan melibatkan lebih ramai lagi orang - dengan jutaan ahli, ribuan cawangan dan ratusan bahagian.

“Ini menjadi satu tanda tanya dalam politik masa kini. Jadi, orang boleh nampak sebenarnya, apa sebenarnya berlaku dan bagaimana hantaran Facebook Annuar Musa itu timbul.

“Nampaknya ia mungkin sudah direncana secara teliti dan mempunyai motif tertentu, dan kian terserlah apabila diseru pula (agar) pemilihan diadakan,” katanya lagi.

Dalam hantaran berkenaan, ada gambar Annuar bersama Hishammuddin Hussein (menteri luar negeri), Ismail Sabri Yaakob (menteri pertahanan), Khairy Jamaluddin (menteri sains, teknologi dan inovasi), serta Shahidan Kassim (pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia - PR1MA).

Sekiranya benar bagai ditelah sesetengah pihak, kata Azman Awang, berkemungkinan Annuar dan Ismail merupakan calon yang akan ditampilkan untuk jawatan presiden, manakala Hishammuddin pula mungkin ditampilkan untuk jawatan timbalan presiden.

Khairy, Shahidan, dan Annuar antara yang menggesa pemilihan Umno diadakan seperti yang dijadualkan pada Jun ini, bersama beberapa individu lain seperti Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Ketua Penerangan Wanita Umno Norshida Ibrahim.

Jika 'kluster mahkamah' merujuk tokoh parti itu yang berdepan pertuduhan di mahkamah (termasuk Ahmad Zahid), 'kluster kabinet' pula merujuk tokoh Umno yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, atau diberikan jawatan tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Kluster itu turut dikaitkan dengan julukan lain seperti kluster menteri, kluster kuasa dan kluster broker, dan dilihat cenderung untuk mengekalkan hubungan kerjasama dengan PN menjelang PRU-15.

Sekadar luah ketidakgembiraan

Penganalisis politik Dr Rusdi Omar pula tidak melihat kemungkinan berkenaan, sebaiknya melihat hantaran Annuar itu hanyalah sebagai caranya meluahkan ketidakgembiraannya atas keputusan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“Saya tak rasa mcm itu. Cuma mungkin Tan Sri Annuar Musa kurang gembira dan tak selesa dengan tindakan kepemimpinan utama Umno dalam membuat keputusan untuk tak bersama bersatu dalam menghadapi PRU-15 nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Bahkan, dia tidak melihat pemilihan Umno akan dilakukan dalam masa terdekat kerana ada ura-ura yang mengatakan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah menetapkan untuk pemilihan ditangguhkan, seperti dakwaan Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan beberapa media semalam.

Dalam PAU, Umno telah memuktamadkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan untuk keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada Ahmad Zahid untuk menentukan garis masanya.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tempoh mandat kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Bagaimanapun, Perlembagaan Umno juga membenarkan MT untuk menangguhkan pemilihan bagi tempoh tidak lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Sebelum ini, desas-desus timbul bahawa Umno dijangka menangguhkan pemilihan partinya sebagai persediaan mengahadpi PRU-15 yang diramal sesetengah pihak akan berlaku selepas tamat darurat 1 Ogos nanti.

Usul itu dikatakan telah dibawa ke mesyuarat MT pada Februari lalu, namun, keputusan mengenainya dikatakan ditangguhkan sehingga selepas PAU 2020 yang telah melabuhkan tirai Ahad lalu.

Kalau ada pakatan, saya bagitahu

Shahidan ketika dihubungi turut menafikan dakwaan demikian.

“Tak tahu. Kami tak tahu pun. Kami tak pernah jumpa. Anggaplah gambar tu album Tan Sri Annuar Musa sahaja.

“Belum ada pakatan lagi. Kalau ada pakatan, saya bagitahu. Kalau saya ada pakatan, saya tidak pernah takut untuk menceritakan (hal) sebenarnya,” katanya.

Malah, dia turut membayangkan akan membuat pengumuman sedikit masa lagi mengenai pendirian politiknya.

“Dalam masa terdekat ini saya akan bagitahudi mana pendirian saya. Buat masa sekarang, saya bersama kepemimpinan MT (Umno) lah.

“Kadang-kadang saya macam dilupakan. Orang jumpa pun orang bubuh (hentam) saya, padahal saya pun ada jasa juga,” katanya lagi.

Prospek Ahmad Zahid dalam pemilihan

Bila-bila pun pemilihan Umno akan diadakan, Rusdi melihat Ahmad Zahid masih mempunyai sokongan kuat di akar umbi.

Bagaimanapun, dia berpandangan Ahmad Zahid harus mengambil pendekatan “berjiwa besar” dengan menyerahkan sementara jawatannya untuk dipangku timbalan presiden sementara menunggu kes perbicaraan mahkamahnya selesai.

Manakala Awang Azman pula melihat pemilihan yang akan datang ini akan menyaksikan persaingan sengit, antara kem presiden dengan kem kabinet yang mempunyai kelebihan kerana berada dalam kerajaan.

Katanya, gesaan segelintir pihak di dalam Umno agar pemilihan disegerakan adalah mungkin atas dasar bimbang bahawa mereka tidak akan lagi disenaraikan sebagai calon ahli parlimen, sekiranya pemilihan dibuat selepas PRU-15.

Ini memandangkan keputusan pencalonan itu terletak di tangan presiden, sedangkan ada pihak dalam kalangan kluster kabinet yang begitu lantang mengkritik Ahmad Zahid.

Namun, katanya, perwakilan di akar umbi akan menilai pemimpin mana yang setia di kala Umno kalah PRU-14 dahulu, dan pemimpin mana pula yang memperlekeh serta menjauhkan diri daripada parti dahulu.