Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ebit luah hasrat sedia tempat tinggal buat gelendangan Afrika Selatan

Selepas tanpa penat lelah menabur bakti kepada rakyat Malaysia berbilang kaum, pendakwah Ebit Liew kini memperluaskan kegiatan kebajikan ke Afrika Selatan pula.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, dermawan itu menceritakan bagaimana dia berkenalan dengan seorang gelendangan di negara itu yang bernama Scott.

“Sayu masa tengok pakcik ni. Masa pusing dekat bandar Durban, Afrika Selatan tunggu makanan, tiba-tiba ternampak seorang seperti orang gila. Tidur tepi longkang dekat kedai. Mundar mandir dan kerja garu kepala.

“Saya terus dekat dan cuba berbual. Scott berumur 60 tahun dan telah 15 tahun tidur di jalanan. Katanya selalu bila hujan baru mandi. Bila rapat baru tahu dia pernah berkahwin dan ada orang anak. Isterinya dah berkahwin lain seorang boss besar sebuah tempat.

"Dia kecewa gagal dalam hidupnya. Dia teringat anaknya. Katanya apa pun semua salah dirinya,” menurut Ebit.

Tidak cuma berbual-bual kosong, Ebit turut membelikan Scott pakaian serta makanan dan kemudian membawanya ke hotel.

Pada masa sama, dia meluahkan betapa usaha untuk memujuk Scott bukan satu hal yang mudah.

“[…] Saya bawa beli baju seluar dan barang lain. Ajak makan KFC dan cuba bawa ke hotel. Hari pertama bila ada orang mencelah dia terus menolak semuanya. Saya datang lagi hari kedua. Dari takut-takut dia jadi rapat dengan saya. Macam kawan dah.

“Sekarang saya bawa ke hotel untuk mandi dan tidur. Dia gembira sangat...Orang di sana semua terkejut dia nak ikut saya. Syukur rasa,” katanya.

Ebit turut menambah, dia berhasrat untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan sedang berusaha untuk memujuk Scott supaya menerima pelawaannya.

Pada 22 Mac lalu, Ebit telah terbang ke Afrika Selatan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.

Setakat ini, Ebit telah banyak menyantuni penduduk daif di negara tersebut dengan menyalurkan bantuan seperti makanan dan pakaian.

Sayu masa tengok pakcik ni. Kasihan rasa. Masa pusing dekat bandar Durban South Afrika tunggu makanan tiba ternampak...

Posted by Ebit Lew on Tuesday, 30 March 2021