Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Maklumat operasi bocor, Nicky sempat larikan 'lapan beg berisi tunai'

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan berlaku kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 bagi memburu ketua sindikiet pengubahan wang haram terbesar di negara ini, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan ahli kumpulan itu.

Beliau berkata mereka yang membocorkan maklumat berkenaan adalah daripada kalangan pegawai dan anggota polis sendiri.

“Hasil soal-siasat yang dibuat, berlaku kebocoran maklumat dan akibat kebocoran itu Nicky Liow berjaya memindahkan sejumlah besar wang yang dibawa keluar dari premis.

"Hal itu, dilihat apabila saksi terlibat dan saksi berkenaan yakin itu adalah wang tunai sebagaimana yang dipaparkan di media sosialnya dengan wang yang ditaburkan di atas lantai,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata siasatan juga mendapati seorang bekas timbalan pendakwa raya bergelar Datuk dipercayai menjadi antara individu yang membocorkan maklumat berhubung operasi itu.

“Bekas timbalan pendakwa raya terbabit menjadi perantara yang menghubungkan dia dengan pegawai-pegawai polis dan penguatkuasa lain berdasarkan kedudukan jawatannya itu yang pernah menjadi pegawai. Dialah (bekas timbalan pendakwa raya) yang menggerak dan memudahkan pergerakan Nicky Liow sehingga terlepas,” katanya.

Abdul Hamid berkata Nicky Liow yang kini dalam buruan polis, mempunyai 12 rekod jenayah antaranya dadah dan jenayah kekerasan termasuk kes memukul anggota Rela pada 27 Okt 2017.

Polis ingin menyeru sekali lagi kepada orang awam jika mempunyai maklumat berkaitan suspek utama itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP V Prakash di talian 012 5209767 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasa disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya adalah pegawai dan anggota polis.

Sementara itu Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Nicky Liow melarikan diri seminggu awal sebelum polis menyerbu kondominiumnya di Setia Walk, di Kuala Lumpur.

“Nicky Liow (dikatakan) sempat melarikan lapan beg dipercayai (membawa wang tunai) jutaan ringgit berikutan maklumat yang dibocorkan oleh pegawai polis manakala hasil siasatan dalam akaun bank peribadinya sahaja mempunyai RM40 juta,” katanya.

- Bernama