Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Tentang Apple, Samsung dan Tesla yang tak pilih Malaysia

Pertama sekali, kami tidak terkejut dengan kenyataan Afif Bahardin yang dilihat dangkal dan tak lebih daripada sekadar kenyataan mempertahankan tuannnya.

Ibarat tin kosong, kami juga tidak terkejut kerana "mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi".

Perumpamaan inilah yang paling sesuai untuk menggambarkan kenyataan Afif.

Seperti tuannya, Afif perlu berhenti menggunakan "selective statistic at his convenience".


Baca: 'Pelaburan selektif': Johari beri fakta separa benar, kata Afif


Memang mudah untuk beliau menggunakan segala data yang memihak kepada beliau, tetapi beliau lupa rakyat bijak di dalam menilai prestasi ekonomi negara.

Kenyataan Azmin Ali yang mengatakan Malaysia bersifat memilih di dalam pelaburan adalah satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan laporan The Edge pada 2 Mac yang lalu, kerajaan melaporkan pelaburan asing langsung bersih Malaysia jatuh 56% kepada AS $3.4 bilion pada tahun 2020.

Benar pandemik Covid-19 mempunyai kesan langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negara, tetapi jiran-jiran kita juga menghadapi cabaran pandemik yang sama.

Jika semua pelaburan yang baik melabur di negara-negara jiran seperti di Indonesia, Vietnam dan sebagainya, adakah kita yang bersifat "selective" atau pelabur yang lebih memilih di dalam membuat pelaburan mereka?


Baca: Johari: Kepala otak dia pelaburan boleh selektif


Apa yang kami bimbangkan adalah, sikap yang seperti ini akan menyebabkan negara menderita dari aspek ekonomi dan ketinggalan di belakang Indonesia dan Vietnam yang dilihat semakin menjadi destinasi pilihan pelabur.

Syarikat-syarikat seperti Apple, Samsung, Tesla dan Amazon adalah syarikat yang sangat memilih membuat pelaburan dan akhirnya tidak memilih Malaysia sebagai destinasi mereka.

Mereka adalah antara syarikat yang berprestasi tinggi dan terbaik di dunia.

Syarikat-syarikat besar ini mula memilih untuk melabur di luar negara, dan anda bercakap soal "dumping ground".

Ia tidak masuk akal.

Malang buat rakyat Malaysia jika orang seperti ini diberikan tanggungjawab menjaga pelaburan negara.

Laporan The Edge pada November lalu, bekas timbalan gabenor Bank Negara juga ada menyatakan kebimbangan beliau terhadap pertumbuhan ekonomi negara, yang Malaysia berisiko tidak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi bahkan selama 20 tahun akan datang.

Ini adalah satu perkara yang amat membimbangkan.

Kita punya ekonomi yang tidak lagi begitu dinamik dengan pertumbuhan yang perlahan, pertumbuhan productiviti yang lemah, pengurusan fiskal yang lemah ditambah pula kelemahan pentadbiran di pelbagai peringkat.

Jadi kami ingin menasihatkan Afif supaya berpijaklah pada bumi yang nyata.

Jangan kerana bertuankan seseorang, maka kelemahan beliau juga dilihat sebelah mata.

Afif sebagai anak muda perlu lebih berani menegur "bos" untuk bersikap proaktif dalam menarik pelaburan ke Malaysia dan mungkin boleh membantu beliau untuk merangka strategi- strategi pelaburan.


MOHAMED NIZHAM ABDULLAH HAMIDI ialah ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.