ULASAN | Apa makna pilihan raya Israel 2021
Jumaat lepas, keputusan pilihan raya Israel ke-24 dimuktamadkan.
Sah, walaupun menang jumlah kerusi terbanyak, parti Likud dan Benjamin Netanyahu sekali lagi tidak memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan selepas empat kali pilihan raya sejak April 2019.
Bagaimana boleh jadi macam ini? Bukankah Israel itu negara yang hebat dan dijaja sebagai raja konspirasi perebutan kuasa di dunia?
Apa yang akan berlaku seterusnya? Apakah akan berlaku adegan lompat-melompat? Apakah pilihan raya akan diadakan semula untuk kali ke-25?
Apa yang kita boleh belajar daripada perkembangan ini?
Pertama, keretakan dalam projek penjajahan Zionis di Palestin semakin jelas.
Tindakan sekular Zionis menggunakan agama dan identiti Yahudi untuk menghalalkan penjajahan dan mengumpul diaspora Yahudi di Palestin telah mula memakan diri.
Hari ini golongan sekular dan liberal Zionis bercakaran dengan golongan ultra ortodoks tentang identiti Israel; sama ada sekular-demokratik atau negara halakha Yahudi (negara agama ala Yahudi).
Yahudi daripada pelbagai latar belakang - Ashkenazi (Jerman/Eropah), Sephardi (Spain/Hispanik), Mizrahi (Timur/Arab), Rusia dan Ethiopia hari ini mempunyai parti masing-masing untuk memperjuangkan nasib kumpulan mereka.
Rasisme semakin menebal di kalangan etnik Yahudi sendiri.
Daripada luar Zionisme dilihat menyatukan mereka tetapi daripada dalam mereka sebenarnya bercakaran sesama sendiri, sehingga menimbulkan kebuntuan dan ketidakstabilan politik pada hari ini.
Kedua, projek Zionis untuk menjadikan Israel sebagai negara eksklusif Yahudi sedang menuju ke arah kegagalan; diancam oleh demografi Arab yang semakin membengkak dan mula mengambil tempat dalam demokrasi di Israel.
Penglibatan Arab dalam politik Israel selama ini hanyalah sebagai kosmetik bagi menutup rasisme Zionis ke atas Arab dan membuktikan Israel sebagai sebuah demokrasi yang tulen.
Hari ini senjata telah makan tuan.
Parti-parti Arab berjaya menarik sebahagian besar penduduk Arab di Israel untuk keluar mengundi (49%) dan menuntut hak secara demokratik sehingga berjaya meletakkan diri mereka sebagai kingmaker dalam pilihan raya kebelakangan ini.
Hanya ego parti-parti Zionis yang enggan bergantung kepada sokongan parti Arab yang menghalang perkara ini berlaku.
Ketiga, masyarakat Israel semakin tidak hirau tentang rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin mereka?
Israel sebelum ini terkenal dengan ketegasan menghukum pemimpin mereka yang korup.
Sokongan pada Netanyahu
Sebelum ini presiden, perdana menteri, menteri dan ahli Knesset Israel pernah dihukum atas pelbagai kesalahan jenayah - rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, sumpah bohong (perjury) dan mencabul kehormatan.
Tetapi hari ini, walaupun Netanyahu terpalit dengan tuduhan rasuah, pecah amanah dan rasuah di mahkamah, dia masih diangkat sebagai pemimpin dan menerima sokongan terbesar dalam pilihan raya.
Dia berjaya mengubah partinya kepada sebuah kultus yang mendewa-dewakan dirinya sebagai satu-satu pemimpin yang mampu memimpin dan menyelamatakan Israel.
Justeru, tidak hairan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 sekadar meletakkan Israel di tangga ke-35; sebaris dengan Bostwana (jiran Zimbabwe) dan lebih rendah daripada Bahamas (30) dan Bhutan (24). (Malaysia di tangga ke-57!)
Keempat, Zionis ketandusan pemimpin berwibawa.
Netanyahu telah memimpin kerajaan Israel selama empat penggal sejak 2009 (lima jika termasuk kali pertama beliau menjadi PM pada 1996-1999).
Dia merupakan PM Israel paling lama memerintah Israel; lebih 15 tahun. Ini bertentangan dengan tradisi politik dan kepemimpinan di Israel.
Cubaan pelbagai pemimpin di Israel untuk mencabarnya masih belum berjaya.
Dalam tiga pilihan raya sebelum ini, bekas menteri Yair Lapid dan dua orang bekas jeneral - Benny Gantz, Moshe Yaalon - bergabung membentuk pakatan, iatu Kahol Lavan (Blue & White) untuk mencabar Netanyahu tetapi gagal.
Zaman kegemilangan Israel dengan barisan pemimpin seperti Ben-Gurion, Golda Meir, Shimon Peres dan Ariel Sharon yang mengutamakan agenda Zionis lebih daripada agenda peribadi seperti sudah berakhir.
Kelima, Palestin mempunyai masa depan yang cerah jika demokrasi benar-benar berfungsi di Israel, parti-parti Arab diterima sebagai sebahagian daripada rakan semula jadi (natural partners) dan politik di Israel bergerak ke arah post-Xionisme.
Post-Zionisme adalah istilah yang digunakan oleh kluster sejarawan baru Israel yang berpendapat Zionisme telah pun berakhir dengan penubuhan negara Israel dan perlunya kepada naratif dan pendekatan baru yang boleh benar-benar menjamin keselamatan, demokrasi dan keamanan Israel.
Sejarawan Baru Israel seperti Prof Ilan Pappe dan Avi Shlaim menyanggah mitos dan naratif Zionis yang meletakkan semua kesalahan kepada Arab sebagai punca kepada konflik Israel-Palestin pada hari ini.
Mereka membongkar jenayah penghapusan etnik ketika penubuhan Israel pada tahun 1948, mempersoal secara kritis omongan Zionis bahawa negara Arab (yang berpecah) mampu menghapuskan satu-satunya demokrasi di Timur Tengah (Israel) dan meletakkan kesalahan yang lebih besar kepada Israel atas kegagalan proses damai Israel-Palestin.
Perkembangan pasca-Zionisme terencat selepas tumbangnya kerajaan haluan tengah-kiri di Israel bawah parti Buruh yang memeterai Perjanjian Damai Oslo 1993 dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan naiknya kerajaan blok haluan kanan-agama Yahudi (Likud dan parti-parti agama termasuk ultra ortodoks).
Kebuntuan politik, keretakan dan kegagalan projek Zionis (seperti yang telah disebutkan di atas), serta beberapa lagi faktor-faktor lain sekali lagi memaksa Israel memikirkan kerangka baru politik pasca-Zionisme.
Jika rejim Zionis di Israel berjaya ditumbangkan dengan komposisi, naratif dan pendekatan baru yang lebih inklusif, rekonsiliatif dan demokratik, masa depan Palestin pasti lebih cerah.
Dengar macam mustahil tapi tiada yang mustahil jika itu yang Allah kehendaki.
KHALID JIMAT ialah pegawai penyelidik untuk Palestine Centre of Excellence (Pace).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai