Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dakwaan menteri ingkar SOP: Polis akan panggil penganjur majlis

Polis belum mengambil keterangan menteri dan ahli politik yang didakwa membuat perjalanan rentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan di Seremban, Negeri Sembilan pada 14 Mac lalu.

Ini kerana polis pada masa ini sedang mengambil keterangan penganjur, kata Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran kepada Malaysiakini hari ini.

"Dalam proses untuk rakam percakapan penganjur. Kami sedang aturkan temu janji.

"Menteri atau VIP belum lagi (diambil keterangan)," katanya.

Pada 16 Mac lalu, pengasas bersama jawatankuasa penaja Muda, Mutalib Uthman membuat laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Laporan itu menamakan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Khairy Jamaluddin; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said; dan Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid.

Dua hari kemudian, Mutalib dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang bagi membantu siasatan.

Mereka dikatakan hadir majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac 2021.

Gambar acara itu dimuat naik di Instagram oleh Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Mohd Zaidy abdul Kadir tetapi telah dipadam.

Bagaimanapun warganet sempat mengambil tangkap layar gambar tersebut dan mengongsikannya di Twitter.

Sementara itu, berhubung dakwaan pelanggaran SOP di majlis perkahwinan pengacara dan pelakon Noor Neelofa Mohd Nor Sabtu lalu, polis Dang Wangi telah mengambil keterangan pihak pengurusan hotel.

"Semalam, pihak polis sudah mengambil keterangan pihak hotel dan hari ini, dijangkakan akan ambil keterangan dari pengurus acara majlis berkenaan.

"Saksi-saksi lain juga akan dipanggil dalam masa terdekat," kata Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal abdullah seperti dipetik Harian Metro.

Terdahulu, polis memaklumkan siasatan awal menunjukkan majlis itu gagal mematuhi SOP, terutama dalam menjaga penjarakan fizikal.