Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dek leka pada SOP Covid-19, Kelantan ketatkan penguatkuasaan

Kerajaan Kelantan setuju untuk lebih memperketat penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 susulan peningkatan kes di negeri terbabit kebelakangan ini.

Menteri besarnya, Ahmad Yakob, berkata langkah itu diambil selepas kerajaan negeri mendapati masyarakat mengambil mudah, selesa dan tidak konsisten semasa mematuhi SOP.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk meningkatkan penguatkuasaan, sebab apabila Kelantan dikenakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sebelum ini rakyat menjadi agak leka.

"Rakyat sepatutnya terus patuhi SOP, jika tidak kita akan kembali kepada perintah kawalan pergerakan (PKP). Ini akan jadi masalah," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan khas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Menurut Ahmad walaupun begitu kerajaan negeri tetap memberi pertimbangan dari aspek berkaitan termasuk ekonomi dan tahap kesihatan.

Apa yang paling penting katanya ialah kerajaan negeri setuju untuk meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan.

"Rakyat dilihat leka dan mudah selesa... tak boleh begitu. Untuk tangani pandemik ini kita mesti patuhi SOP secara berterusan. Itu yang penting," katanya.

Pada 27 Mac Kelantan merekodkan 138 kes baru Covid-19 menjadikan ia rekod tertinggi setakat ini, selain bertambahnya beberapa kluster baru.

Situasi itu menurut Ahmad sangat mengejutkan ketika kerajaan negeri berharap jangkitan Covid-19 di negeri itu semakin menurun.

"Kita mengharapkan kes menurun, tetapi rupa-rupanya pada 27 Mac (kes meningkat) memberi kejutan," katanya yang juga Adun Pasir Pekan.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan kini merupakan tertinggi dalam negara iaitu 1.19 sekali gus membimbangkan.

"Jika kes tidak dapat dikawal dan terus meningkat, Majlis Keselamatan Negara dan jabatan kesihatan negeri akan mengesyorkan untuk melaksanakan PKP semula di Kelantan.

"Kita hanya mengikut perintah sahaja namun jika PKP dilaksanakan, sudah tentu semua pihak akan terkesan lebih-lebih lagi kita akan berdepan dengan Ramadan.

"Justeru, saya memohon seluruh rakyat Kelanyan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19," katanya.