Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perhimpunan masyarakat antara punca kes naik di Kelantan

Sebuah kluster berkaitan perhimpunan masyarakat merupakan antara faktor peningkatan kes Covid-19 di Kelantan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Zaini berkata, kluster yang dinamakan kluster Gong Kulim itu membabitkan komuniti di daerah Pasir Puteh.

"Kluster itu tercetus akibat satu perhimpunan yang diadakan baru-baru ini.

"Butiran yang selanjutnya mengenai perhimpunan itu tidak dapat didedahkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, hari ini.

Kelantan mencatatkan peningkatan kes baru sebanyak 138 kes semalam, berbanding dengan 86 kes pada hari sebelumnya. Ini kali pertama kes harian di Kelantan mencatat tiga digit sejak 20 Feb lalu.

Kluster Gong Kulim juga dikenal pasti semalam. Ia sudah mencatatkan 25 kes positif daripada 123 orang yang disaring.

Difahamkan, kluster itu berpunca daripada satu perhimpunan berunsurkan agama di Pahang baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Zaini berkata dia tidak menolak kemungkinan faktor utama peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan disebabkan majlis kenduri dan keramaian.

Justeru, dia menggesa orang ramai tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan walaupun kenduri tahlil atau majlis keramaian kini telah dibenarkan.