Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Zahid: BN bergerak sendirian pada PRU15

BN memutuskan untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU15, menurut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, Umno - yang mengetuai BN - perlu menang paling banyak kerusi untuk kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan gabungan selepas itu.

“BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU15, pertamanya kita mesti menang kerusi terbanyak.

“Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Pengumuman Ahmad Zahid itu dilihat merungkai antara persoalan terbesar sekitar kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Pada masa sama ia meletakkan PAS di tengah-tengah. Parti itu sebelum ini berpendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu menerusi PN dan pada masa sama kekal bersama Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, turut hadir pada PAU hari ini.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan komen Abdul Hadi gagal apabila dia meninggalkan PWTC dengan kawalan ketat tanpa menjawab pertanyaan media.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata lagi, keputusan untuk bergerak sendiri itu bukan menandakan Umno angkuh.

“Kita bukan ego, kita bukan angkuh. Kita tidak naif. Kita bukan juga anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan.

“Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati.

“Jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?” katanya lagi. 

Meskipun bukan ahli rasmi, Umno sebelum ini menyokong PN bagi mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, hubungan Umno dengan Bersatu terus tegang, di sebalik kedudukannya sebagai parti dalam gabungan pemerintah dengan beberapa pemimpinnya menganggotai Kabinet.

Ia mencapai kemuncak apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Feb memutuskan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu - satu keputusan yang ditentang beberapa tokoh dalam parti.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan