Tiada runding dengan Anwar, DAP atau Bersatu, kata Zahid
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa parti itu tiada sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, sekali gus menafikan apa yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Kata Ahmad Zahid pendirian Umno masih kekal dan muktamad iaitu tidak menerima Anwar Ibrahim, DAP atau Bersatu
"Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi pilihan raya umum.
"Kita tetap dengan keputusan majlis tertinggi iaitu no Bersatu, no Anwar, no DAP.
"Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
"Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji BN," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 24 Mac lalu, Ahmad Zahid sudah pun menafikan spekulasi kemungkinan bekerjasama dengan PKR menjelang PRU akan datang.
Ia selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata ada perbincangan antara pemimpin kedua-dua parti walaupun mengakui ia masih di peringkat awal dan belum ada sebarang persefahaman yang dicapai.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru perwakilan Umno agar yakin kepimpinan parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan DAP dan PKR.
Sebaliknya katanya, apa-apa rundingan hanya akan berlaku selepas PRU15 apabila Umno menjadi kuasa dominan.
"Tiada sebarang perbincangan sama ada dengan saya, timbalan atau dengan mana-mana pemimpin parti.
"Yakinlah dengan pendirian kami, Umno akan didahulukan dan pendirian ini jelas.
"Kalau mahu runding selepas kita dominan, selepas PRU15," katanya lagi.
- Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai