Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Dulu PAS perjuang reformasi pilihan raya bukan persempadanan semula'

Ahli Parlimen DAP Wong Shu Qi mengingatkan PAS bahawa ketika parti itu menjadi pembangkang, merkea menggesa untuk reformasi pilihan raya.

Wong memberi peringatan itu selepas anggota Jawatankuasa Pusat PAS Khairuddin Aman Razali berkata PAS menyasarkan untuk menguasai dua per tiga Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 agar parti itu - bersama gabungannya - dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

"Tidak lama dahulu, PAS adalah parti politik yang memperjuangkan reformasi pilihan raya. Mereka pernah menjadi ahli pengasas Bersih dan bersama-sama dengan rakan-rakan rakyat Malaysia, mereka menuntut pemilihan yang bebas dan adil.

"Presidennya, Abdul Hadi Awang memakai baju kuning, berjalan dengan pemimpin politik lain, masyarakat sivil dan puluhan ribu rakyat Malaysia untuk membuat tuntutan ini.

"Tetapi hari ini, hipokrasi PAS kini terbongkar. Ketika mereka berada dalam pembangkang, mereka mahukan pilihan raya yang bebas dan adil, sekarang mereka berada dalam kerajaan, mereka mahu memanipulasi sistem pilihan raya untuk terus berkuasa," kata Wong yang juga ahli parlimen Kluang dalam kenyataan hari ini.

Selasa salu, Khairuddin, yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata ketiga-tiga parti Melayu - PAS, Bersatu dan Umno - harus bekerjasama untuk mencapai menguasai dua per tiga parlimen.

"PAS melihat keperluan jangka masa panjang untuk memenangi PRU ke-15 dengan majoriti dua pertiga.

"Pada saat itu perubahan sempadan pilihan raya yang menguntungkan Islam Melayu serta pertambahan kerusi parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu boleh diusahakan," kata Khairuddin.

Untuk rekod PAS kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat melalui penyertaan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Sementara itu, Wong mendakwa bahawa PAS, terutama Khairuddin, telah menunjukkan diri mereka tidak menghormati undang-undang.

"Saya sangat berharap agar PAS, yang menjadi parti kerajaan hari ini, setidaknya dapat mengkaji laporan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pembaharuan Pilihan Raya pada tahun 2012.

"Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Reformasi Pilihan Raya dibentuk pada tahun 2011 setelah perhimpunan Bersih 2.0. Jawatankuasa ini terdiri daripada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Laporan itu membuat banyak cadangan untuk memperbaiki sistem pilihan raya dan amalan pilihan raya, termasuk, memperkenalkan dakwat kekal, memantau pembiayaan politik, persempadanan semula yang adil, memperkuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan meneliti sistem pilihan raya baru.

"Sayangnya, kebanyakan orang hanya ingat dakwat kekal yang telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum 2013. Laporan itu dilupakan setelah itu dan tidak banyak yang dilakukan sehingga ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada 2018," kata Wong.

Wong mengatakan bahawa kerajaan PH memberikan kebebasan kepada SPR dan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya dengan mandat untuk mengkaji sistem pilihan raya first-past-the-post yang diamalkan ketika ini, mendidik pengundi, pembiayaan politik dan seumpamanya.

"Setelah kejatuhan PH, kerajaan PN sekali lagi meninggalkan usaha reformasi pilihan raya," katanya.

"Apa yang dilakukan Khairuddin adalah langkah ke belakang, mensia-siakan usaha meningkatkan demokrasi di negara ini.

"Adalah normal bagi sebuah parti politik yang ingin memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

"Bagaimanapun kita mesti menang dalam pertarungan yang adil - bukan dengan memanipulasi pilihan raya untuk memberi manfaat kepada pihak tertentu, dan pastinya tidak dengan menentang semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya.