Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PAU: Bernama nafi dapat 'wahyu' tak siar liputan negatif Bersatu

Dakwaan bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kononnya menerima ‘wahyu’ untuk liputan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berlangsung hari ini dan esok, adalah tidak benar, kata Ketua Pengarang Abdul Rahman Ahmad.

Menegaskan bahawa Bernama membuat liputan seimbang, beliau berkata dakwaan laporan portal Getaran, yang menyatakan bahawa ‘Laporan PAU 2020 Bernada Sendu, Bernama Terima Wahyu?’ itu tidak benar sama sekali.

”Bernama sama sekali tidak menerima sebarang ‘wahyu’ seperti yang didakwa oleh Getaran berhubung liputan Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC),” katanya.

Laporan Getaran itu telah memetik satu sumber Bernama yang enggan dikenali mendakwa kononnya ada ‘wahyu’ supaya tidak menyiarkan laporan berbentuk negatif tentang Bersatu.

Beliau berkata Bernama telah menugaskan sepasukan 20 orang terdiri daripada wartawan, jurufoto, jurukamera TV dan wartawan penyiaran TV dan radio untuk membuat liputan perhimpunan agung tahunan Umno kali ini.

Abdul Rahman menegaskan arahan Bernama kepada pasukan petugas ialah membuat liputan secara profesional seperti yang diamalkan semasa mesyuarat agung tahunan, persidangan atau perhimpunan agung tahunan parti-parti politik sebelum ini.

- Bernama