Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Santhara kuarantin di rumah: Penjelasan KKM mengecewakan - Lim

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengkritik Kementerian Kesihatan berhubung pengendalian kes timbalan menteri Edmund Santhara.

Menurut Lim, pengarah kesihatan telah memberikan "penjelasan yang mengecewakan" mengenai kes Santhara.

Ini selepas Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu media Santhara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah setelah kembali dari New Zealand kerana Santhara mempunyai "rumah yang sesuai" dan dia kembai dari "negara berisiko rendah."

"Penjelasan Noor Hisham sangat mengecewakan apabila beliau berkelakuan tidak berbeza dengan seorang ahli politik PN dengan memberi alasan mengapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang diberi kompaun hanya RM1,000 tanpa didakwa di mahkamah, setelah gagal mematuhi peraturan kuarantin setelah kembali ke Malaysia dari Turki pada bulan Ogos tahun lalu.

"Sebaliknya, seorang wanita Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah, didenda RM8,000 dan penjara sehari kerana kesalahan serupa," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Santhara (gambar, bawah) yang juga timbalan menteri Wilayah Persekutuan kembali ke Malaysia setelah berada di New Zealand kira-kira 80 hari.

Bawah prosedur operasi standard (SOP) sekarang ini, mereka yang tiba dari luar negara mesti mengasingkan diri di pusat kuarantin yang ditetapkan seperti hotel dan bukannya kediaman mereka sendiri.

Bagaimanapun, ahli parlimen Segamat memberitahu Malaysiakini pada 24 Mac, dia menjalani kuarantin wajib selama 10 hari dan bekerja dalam talian.

Berikutan itu, seorang warga Malaysia, S Mani Vannan mempersoalkan mengapa dia tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah walaupun telah mendapat vaksinasi Covid-19 sepenuhnya.

Juruterbang syarikat penerbangan itu menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech kedua pada awal Februari.

Dia mengambil tujuh ujian RT-PCR dan diuji negatif sebelum pulang ke Malaysia pada 23 Februari.

Seperti Santhara, Mani juga pulang dari kawasan yang mempunyai sedikit jangkitan - Singapura.

Mani berkata kepada Malaysiakini bahawa dia telah merayu kepada kementerian "berkali-kali" sejak Dec 2020 tetapi tetap ditolak.

Alasannya untuk pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor adalah bagi menjaga ibunya yang menghidap barah.

Ditanya mengapa Santhara diberikan pengecualian, Dr Noor Hisham merujuk kepada prosedur penilaian risiko oleh kementerian berkenaan.

Mengenai pengecualian itu, Lim merujuk kes juruterbang itu, berkata permohonan S Mani untuk kuarantin di rumah telah ditolak bulan lalu walaupun setelah diuji negatif dalam tujuh ujian Covid-19 dan telah divaksinasi di Singapura.

"Penjelasan Noor Hisham menimbulkan persoalan mengenai syarat-syarat Kementerian Kesihatan bagi rumah yang sesuai untuk arahan kuarantin.

"Adakah rumah yang sesuai untuk kuarantin hanya jika ia rumah mewah atau dimiliki oleh orang kaya dan berkuasa?

"Amalan membezakan antara dua darjat antara orang yang kaya dan berkuasa, dan rakyat biasa seperti ini menunjukkan sikap bongkak dan penghinaan kepada prinsip kebenaran," katanya.

MP Bagan juga mendesak sidang parlimen diadakan segera supaya dapat memastikan akauntabiliti penuh dan mencegah berulangnya layanan istimewa terhadap menteri dan timbalan menteri.

"Kerajaan PN harus berhenti bersikap angkuh berlagak seakan-akan mereka kebal dari sebarang tindakan jika buat salah atau lebih teruk, boleh melakukan sesuka hati tanpa menghiraukan tatakelakuan yang baik dan tingkah laku yang wajar, hanya kerana parlimen digantung," gesa Lim.