Mukhriz: Pejuang ada alternatif lain jika tak diluluskan
Sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Presidennya Mukhriz Mahathir berkata mereka telah bersiap sedia dengan alternatif lain.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata ia tidak boleh didedahkan buat masa ini.
“Tentu ada alternatif lain yang kami tidak boleh umum ketika ini,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai peluang Pejuang untuk menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan hasrat untuk menjadi penentu dalam gabungan kerajaan baru nanti.
Semalam, Pengasas Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata dia mengharapkan supaya Pejuang menjadi kuasa ketiga yang akan menjadi penentu kepada gabungan kerajaan baru nanti.
"Pejuang tidak mungkin jadi kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi kerajaan.
"Sokongan Pejuang (akan diperolehi) hanya jika syarat Pejuang diterima," katanya.
Berdasarkan kedudukan kerusi semasa, tidak ada parti yang dapat membentuk kerajaan secara sendiri melainkan menerusi gabungan dengan parti-parti lain.
Mengulas lanjut mengenai isu pendaftaran partinya, Mukhriz berkata Pejuang telah mengemukakan semua dokumen dan memenuhi segala syarat yang dikenakan oleh ROS dan Bahagian Dasar, Kementerian Dalam Negeri bagi mendaftar parti.
“Kami masih mengharapkan pendaftaran Pejuang diluluskan sebelum PRU15.
“Apapun kedudukan Pejuang, kami tetap akan menyertai PRU15 untuk mendapatkan mandat rakyat dan menyumbang kepada penubuhan sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan berwawasan,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, ROS memaklumkan kepada Pejuang dan sebuah lagi parti baru yang cuba didaftarkan, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bahawa permohonan mereka ditolak.
Meskipun pemimpin kedua-dua parti itu menjelaskan bahawa mereka telah memenuhi syarat yang diperlukan, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada awal bulan lalu berkata permohonan kedua-duanya ditolak kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai