Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Guan Eng gesa AS dedah bukti kes 1MDB yang dituntut Najib

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan bukti yang sedang dituntut bekas perdana menteri Najib Razak bagi pembelaan dalam perbicaraan 1MDB.

Najib dalam usaha melawan permohonan kerajaan AS untuk menangguhkan perintah mahkamah agar Goldman Sachs dan bekas pegawai Tim Leissner menyerahkan dokumen dan testimoni yang penting untuk pembelaan bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di Malaysia.

“Saya rasa kerajaan AS tidak boleh sekat maklumat ini,” kata Lim seperti dipetik portal FMT hari ini.

Tambanya, rakyat Malaysia berhak mengetahui maklumat tersebut.

“Kerajaan AS perlu telus dan dedahkan sepenuhnya semua pihak yang menerima wang dari wang 1MDB.

“Saya mahu tahu Jho Low beri (duit kepada siapa), yang dikatakan pihak berkepentingan,” jelasnya.

Pasukan perundangan Najib telah menerima sapina dari mahkamah AS, supaya Goldman Sachs dan bekas eksekutif Tim Leissner memberikan dokumen yang diperlukan bagi pembelaan 1MDB.

Bagaimanapun, kerajaan AS memfailkan permohonan untuk menangguhkan perintah tersebut. Permohonan itu belum didengar.

Menerusi surat yang dilihat Malaysiakini, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghalang Najib untuk mengakses maklumat tersebut.

Mereka turut menafikan dakwaan bersengkongkol dengan Goldman Sachs seperti didakwa bekas pegawai perbankan pelaburan syarikat itu, Roger Ng.

DOJ mendakwa, langkah kerajaan AS untuk memfailkan permohonan penangguhan perintah kerana beberapa fakta dan teori yang dibicarakan mempunyai hubungan dengan kes jenayah (Ng) di Mahkamah (Daerah Timur New York).