Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Lorong gelap' jadi sinar Mak Wan berbakti di Chow Kit

Seorang wanita cekal yang kini mengusahakan pusat komuniti Warung Makan Sahabat, telah membuktikan bahawa penagih dadah yang pulih dapat berbakti kepada masyarakat.

Wan Kamariah Daud atau lebih mesra dengan panggilan Mak Wan, (gambar judul, atas) 69,  merantau ke Kuala Lumpur semasa dia berusia 11 tahun bersama suaminya.

Menurut Mak Wan, suaminya dijatuhi hukuman gantung mandatori akibat terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

Setelah menerima hukuman dan hidup seorang diri, Mak Wan mengambil keputusan untuk pulang ke Kelantan, kampungnya, namun, dibuang oleh keluarga dan disisih masyarakat setempat.

“Selepas itu, Mak Wan terus duduk di Jalan Chow Kit dan meneruskan penglibatan penyalahgunaan dadah selama 40 tahun,” katanya kepada Malaysiakini pada wawancara baru-baru ini.

Semasa ditemubual, Mak Wan berkongsi, kehidupannya pada ketika itu amat dahsyat, mencuri, makan makanan dari tong sampah dan tidur di lorong-lorong. Dan segalanya berpunca daripada pengambilan dadah.

Bagi Mak Wan, pusat serenti dan penjara adalah rumah keduanya, kerana berulang kali masuk keluar dari tempat tersebut.

Jelas Mak Wan, ada ketika Mak Wan terlalu penat dengan jalan yang dipilih lalu membuat keputusan untuk membunuh diri.

“Terjun sungai bunuh diri pun ada, ambil suntikan banyak-banyak, sebab nak mati cepat pun ada” kata Mak Wan.

Bagaimanapun, menerusi sesi pemulihan yang terakhir, Mak Wan berkata dia mengambil masa 10 tahun bagi mempersiapkan diri untuk keluar berhadapan masyarakat.

“Keluar dari tempat itu, Chow Kitlah yang Mak Wan tuju, tiada tempat lain.” tambahnya.

Mak Wan nekad untuk berubah dengan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur.

“Kerja kutip tin, kutip kotak, cuci tandas, letak iklan dalam peti surat, tukang bersih bilik hotel sampailah Mak Wan kerja dengan Majlis Aids Malaysia untuk sebarkan kesedaran tentang bahaya Aids dan HIV,” kata Mak Wan.

Mak Wan yang menetap di tingkat atas premis Warung Makan Sahabat, mula membuat kuih-muih untuk dihantar ke kedai-kedai apabila dia tidak mempunyai kudrat lagi kerana sudah berusia.

Dalam pada itu, terbit usaha murni Mak Wan untuk menyediakan makanan dan memberikan kepada rakan-rakan secara percuma.

“Kalau ada nasi lebih Mak Wan goreng, bungkus siap-siap dan hantar pada kawan-kawan” jelasnya.

Jelas Mak Wan, usaha ini dilakukan kerana dia tidak mahu melihat rakan-rakan lain mengalami keperitan mencari makanan di tempat yang kotor.

Maka, wujudlah Warung Makan Sahabat atas hasrat Mak Wan yang dibantu oleh tiga lagi individu iaitu Harun Abu Bakar (Cikgu Jinggo), Maryam Salwany dan Ustaz Muhd Syafiq.

Pusat komuniti ini bukan sahaja menyediakan bantuan makan percuma malah terdapat kelas pengajian Al-Quran iaitu ‘Laman Ngaji’, sesi bimbingan kaunseling serta pendidikan untuk setiap lapisan masyarakat, jelasnya.

Tambahan lagi, Warung Makan Sahabat turut mempunyai perkhidmatan van jenazah percuma yang dapat membantu masyarakat sekitar dalam pengurusan pengebumian.

“Sekarang ini, ramai sukarelawan turun pada hujung minggu untuk memasak dan menyediakan makanan. 

"Kalau hari-hari biasa, kita akan tempah daripada ibu tunggal atau pengusaha makanan,” kongsi Mak Wan.

Di samping menghulurkan bantuan makanan secara percuma, Warung Makan Sahabat turut menyediakan peluang pekerjaan buat ibu tunggal khususnya bagi menjana pendapatan harian.

Warung Makan Sahabat platform hidup bermasyarakat

Jelas Mak Wan, ramai sukarelawan yang membantu semasa penyediaan dan pengagihan makanan percuma di Warung Makan Sahabat. Ada dari kalangan mereka telah pulih daripada pengaruh dadah dan berjaya keluar daripada zaman gelap yang mana juga dikenali sebagai ‘recovery person’.

“Kita ingin golongan ini menjadi suri teladan dan membentuk satu sistem sokongan moral yang kukuh bagi membantu orang-rang yang ingin pulih daripada dadah” kata Mak Wan.

Mereka (recovery person) juga sedikit kesal dengan stigma masyarakat yang sering memandang buruk terhadap bekas penagih dadah.

“Orang tak percaya, sampai kita nak bangkit pun tak boleh. Kerja tak boleh, jadi pengawal keselamatan tak boleh. Macam mana kita nak hidup.” keluh Mak Wan.

Mak Wan berkata disebabkan pandangan masyarakat inilah, dia membuka pintu Warung Makan Sahabat kepada semua orang terutamanya ‘recovery person’ untuk melakukan kerja amal.

Semasa ditemubual, salah seorangrecovery person’ ini menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Zaidi Sulaiman (paling kanan) berkata, dirinya bukan sahaja membantu orang yang ingin pulih daripada dadah malahan secara tidak langsung kita dapat bantu diri sendiri ke arah yang lebih baik.

Menerusi penglibatan ‘recovery person’ sebagai sukarelawan Warung Makan Sahabat, mereka dapat membina hubungan sosial di samping menambah keyakinan mereka berhadapan dengan masyarakat luar.

“Komuniti sukarelawan ini, ada daripada golongan orang luar dan ada juga daripada komuniti bekas penagih dadah, apabila sertai program sebegini bersama-sama, maka wujudlah kemesraan dan intergrasi masyarakat” tambah Zaidi.

Hidup bermasyarakat inilah yang menguatkan lagi pemulihan bekas penagih yang ingin berubah, jelas Zaidi lagi.

Dalam pada itu, Malaysiakini turut menemubual seorang warga emas, Mariatun yang sering menghadiri program anjuran pusat komuniti ini.

“Saya akan ambil nasi dengan Mak Wan, kalau tiada makanan. Kalau malam Rabu dan Khamis saya mengaji di sini,” tambah Mariatun.

Mariatun berkata Mak Wan sering berjalan di sekitar Chow Kit untuk mengajak orang di sini menyertai kelas agama yang dijalakan.

“Pada saya usaha Mak Wan sangat memberi manfaat kepada orang lain” katanya.

Di akhir temubual, Mak Wan berkongsi hasratnya untuk menjadikan seluruh lot kedai ini sebagai Kompleks Sahabat yang mempuyai kelengkapan cukup dari segi rumah transit, rumah didik serta kemudahan asas lain seperti surau dan pengangkutan kecemasan percuma.

Ikhtiar Mak Wan bersama rakan-rakannya, membantu golongan gelandangan, merawat pulih penagih dadah, transgender, warga emas dan juga asnaf menjadi sumber inspirasi masyarakat.

Pengalaman gelap masa lalu Mak Wan menjadi sinar untuk dia terus berbakti kepada golongan masyarakat terpinggir dan tersisih ini.