Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

OKU didakwa baling kereta mentua dengan batu-bata

Tindakan seorang pengganggur membaling batu-bata ke arah kereta bapa mentuanya pada Isnin lalu, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Tertuduh, Tuan Khairul Aiman Tuan Khairuddin, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat terhadap harta benda milik Che Mahdi Che Lah, 62, dengan cara membaling batu-bata sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas, Kota Bharu, kira-kira pukul 12.50 tengah malam, 22 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor Zulkifli Auni.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Gayathri meminta tiada jaminan ditawarkan ekoran bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang juga ahli keluarganya.

Namun Siti Syaerah dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dan ditanggung sepenuhnya kedua ibu bapa.

"Anak guam saya mempunyai rekod menghidap bipolar dan sedang dalam fasa mengambil ubat. Sehubungan dengan itu, kami juga sedang menunggu laporan terbaharu berkaitan penyakit itu dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan, selain menetapkan 6 Mei depan bagi sebutan semula kes.