Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Amanah P Pinang berdoa Faiz Fadzil di pihak benar

Amanah Pulau Pinang berdoa dan berharap Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil berada di pihak yang benar selepas tuduhan mencabul oleh seorang wanita berusia 31 tahun.

Pengerusinya Dr Roslan Ahmad berkata pihaknya merasa amat terkesan dengan dakwaan itu serta menyokong segala usaha membersihkan nama Faiz.

"Kami akan mempertahankan beliau dan percaya beliau tidak sama sekali terlibat dalam perbuatan tersebut.

"Apa pun, kami memahami proses undang-undang perlu berjalan dengan adil. Kami berharap keadilan akan akhirnya terpancar dengan siasatan yang adil, saksama dan tanpa dipengaruhi sebarang faktor lain.

"Kami juga menolak desakan beberapa pihak dan mahu beliau terus menjalankan tugas sebagai Adun Permatang Pasir," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Roslan berkata Amanah Pulau Pinang berpegang teguh kepada konsep, "seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah."

"Kami seterusnya menolak budaya politik bersifat fitnah, jijik dan mengaibkan.

"Suhu politik negara dan pertikaian mengenainya tidak seharusnya sama sekali membawa kepada penyuburan budaya yang cukup jijik dan hina sebegini.

"Kami juga ingin menyeru semua ahli Amanah Pulau Pinang agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasaskan fakta serta menghormati proses undang-undang," katanya lagi.

Pagi tadi, Malaysiakini melaporkan seorang Adun dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu, ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman, wanita itu membuat laporan polis pada 16 Mac.

Dalam laporannya, wanita itu mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, suspek didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolaknya.

Laporan wanita itu turut menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.

Faiz yang juga anak bekas presiden PAS alllahyarham Fadzil Noor hari ini menafikan tuduhan mencabul seorang wanita pada Januari lalu.

Kata Adun dari Amanah itu, dia telah memberi kenyataan kepada polis dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

Kata Faiz lagi buat masa ini, dia akan meneruskan tugasnya sebagai Adun seperti biasa.