Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lepas 30 jam, mayat mangsa ketiga kemalangan di Suke masih terperangkap

Mangsa ketiga yang maut di tapak binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) semalam masih terperangkap selepas 31 jam kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang berusaha menstabilkan 'U beam' sebelum berusaha mengangkat 'crane launcher' yang telah menghempap mangsa.

Semalam pada pukul 8.45 pagi, kren yang digunakan untuk membina lebuh raya itu jatuh menghempap sebuah kereta Perodua Bezza dari ketinggian 120 kaki.

Dua mangsa lain maut di tempat kedajian, sementara seorang lagi disahkan meninggal dunia kemudian. Ketiga-tiga mereka adalah warganegara China.

Pemandu kereta itu, yang merupakan warganegara Malaysia, cedera parah.

Ini adalah kemalangan ketiga yang melibatkan Suke dalam tempoh enam bulan.

Antara subkontraktor Suke adalah China Communications Construction Co Ltd (Schol) yang berpusat di Beijing, Jetson Construction Sdn Bhd, Econpile Holdings Bhd dan Zelan Bhd.

Menteri Kerja Raya Fadhillah Yusof semalam mengatakan siasatan awal mendapati kontraktor projek Suke "telah mematuhi SOP yang ditetapkan".

Susulan itu, beberapa ahli politik pembangkang menggesa projek Suke dihentikan sementara siasatan bebas dijalankan.