Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Span jawab isu bekalan air diketengahkan pengarah HRPZ II

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) tampil menjelaskan isu bekalan air selepas perkara itu diketengahkan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, dalam satu program bersama menteri dan menteri besar Kelantan, semalam.

Menurut suruhanjaya itu, beberapa tindakan dilaksanakan bagi mengatasi gangguan bekalan air di hospital itu.

Jelas Span, bagi tindakan jangka panjang kerajaan persekutuan meluluskan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas daripada kapasiti 10 juta liter sehari (JLH) kepada 30 JLH, bagi mengatasi ketidakcukupan bekalan air daripada loji-loji sedia ada yang membekalkan bekalan air ke hospital tersebut.

"Projek dengan anggaran kos sebanyak RM50 juta ini adalah di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dijangka siap pada penghujung tahun 2023.

"Secara keseluruhan, kerajaan persekutuan melalui PAAB melaksanakan projek menaik taraf tiga loji rawatan air termasuk LRA Tanjung Mas dengan anggaran kos sebanyak RM 176 juta, bagi meningkatkan kapasiti reka bentuk kepada 80 JLH bekalan air di negeri Kelantan," kata Span dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Pengarah HRPZ II, Dr Selasawati Ghazali tampil bertanya mengenai perancangan kerajaan dalam mengatasi masalah itu pada sesi soal jawab program Malaysia Prihatin yang dihadiri dua menteri dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Malah jelasnya, sudah lebih 10 tahun hospital itu dibelenggu masalah itu sekali gus menjejaskan keperluan harian.

Sementara itu Span berkata, PAAB juga melaksanakan projek penggantian paip sepanjang 42 kilometer (km) di bandar Kota Baharu, Kelantan.

Jelasnya, projek itu sudah siap sepenuhnya dan mula beroperasi sejak 8 Mac lalu dengan objektif menambahbaik pembekalan bekalan air ke bandar Kota Bharu dan kawasan sekitar.

"Projek penggantian paip sepanjang lebih kurang 225 km sedang dilaksanakan PAAB di seluruh negeri Kelantan, dan melibatkan anggara kos sebanyak RM88 juta.

"Ia bertujuan untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dan menambah baik pembekalan air di negeri Kelantan. Span juga meluluskan projek pembinaan paip secara terus dari Tangki Merbau ke HRPZ II. Projek ini akan dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan dijangka akan siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Julai 2021," kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan sama, bagi penyelesaian jangka pendek, AKSB juga melaksanakan kerja-kerja pengalihan paip t-off bagi menangani masalah gangguan bekalan air di HRPZ II susulan daripada penyiapan dan pengoperasian projek penggantian paip lama kepada paip baru yang dilaksanakan PAAB di Bandar Kota Bharu.

Tambah kenyataan itu, setelah penukaran paip itu kadar aliran air ke HRPZ II adalah berjumlah 32 hingga 42 meter padu (m3) per jam melibatkan wad lama dan 15 hingga 17 meter padu bagi wad sajian serta 10 hingga 13 meter padu bagi wad Fasa 1.

"Kerja-kerja penukaran ini telah siap dilaksanakan pada 22 Mac (semalam). Selain daripada itu, Span juga melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina satu sistem tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 13,500 liter.

"Sistem ini beroperasi pada 5 November 2020 bagi membekalkan bekalan air ke wad lama hospital tersebut," kata Span.