Definisi tambi: Istilah keling akan ditukar kepada 'orang India' - DBP
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata akan menukar definisi perkataan 'tambi' dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), iaitu kamus dalam taliannya yang dikatakan menghina masyarakat India di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abg Shokeran, perkataan 'keling' yang digunakan akan digantikan dengan perkataan 'orang India'.
"Kamus dalam talian akan dikemas kini. Perkataan 'keling' dalam ayat itu akan diganti dengan kata 'orang India', seperti dalam kamus-kamus terkini DBP.
"Kamus dalam talian juga akan kami kemas kini," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian selepas DBP dikecam berhubung definisi perkataan 'tambi' dalam kamus dalam taliannya.
Kamus tersebut menakrifkan perkataan 'tambi' sebagai "panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita".
Tambi adalah perkataan bahasa Tamil yang bermaksud 'adik lelaki'. Ia juga digunakan secara ramah oleh masyarakat Melayu terhadap lelaki berbangsa India yang lebih muda.
Untuk rekod, perkataan 'keling' sering digunakan untuk merujuk masyarakat India. Masyarakat India menganggap istilah ini sebagai menunjukkan rasa tidak hormat.
Terdahulu, DBP dalam kenyataan menjelaskan PRPM berdasarkan Kamus Pelajar terbitan tahun 1987 yang dikemas kini pada 2007.
"Tentang penggunaan kata orang Keling dalam takrif tambi pada kamus pelajar, kamus ini diterbitkan pada tahun 1987 lagi dan dikemas kini edisinya pada tahun 2007 dengan hanya membuat penambahan entri sahaja.
"Bagaimanapun, pengemaskinian dan penyusunan edisi ketiga kamus sedang dirancang oleh DBP dan aspek penambahbaikan takrif akan diberikan perhatian untuk edisi baru," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan takrifan tambi, DBP berkata ada sedikit perbezaan antara Kamus Dewan (KD), Kamus Pelajar (KP) dan Kamus Dewan Perdana (KDP).
"Misalnya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), tambi ditakrifkan sebagai 'panggilan untuk orang India berpangkat adik' dan Kamus Dewan Perdana (2020) pula 'panggilan untuk orang lelaki muda India yang berpangkat adik'.
Penggunaan label tabu
Kata DBP lagi, bagi kamus umum yang bersifat sejarah dan "hidup" (living dictionary), segala fakta tentang kata yang pernah timbul dan sedang hidup penggunaannya dalam masyarakat penutur bahasa Melayu akan dirakamkan.
"Demikianlah juga halnya dengan kata keling yang telah sedia wujud di dalam Kamus Dewan sejak edisi sulungnya yang terbit pada tahun 1970 lagi.
"Bagaimanapun, dari segi pengolahan maknanya, ada perubahan dan pembaikan yang diusahakan oleh penyusun Kamus Dewan terhadap kata keling ini sesuai dengan unsur sejarah dan faktor sosiolinguistik kata ini.
"Misalnya, daripada makna yang dirakamkan oleh Kamus Dewan 1989 dan 1994, Kamus Dewan secara tersurat cuba mendidik masyarakat bahawa keling ialah kata yang kurang halus untuk digunakan, dan yang lebih halus digunakan ialah kata India, iaitu panggilan kepada orang India," kata DBP.
Untuk rekod, DBP telah melakukan perubahan terkini terhadap entri keling menerusi Kamus Dewan Perdana.
Menurutnya, dalam kamus tersebut, kata keling dilabelkan sebagai tabu iaitu label yang diberikan kepada kata larangan dalam budaya sesuatu bangsa atau kaum.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai