Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA MP | 6 sebab kenyataan Takiyuddin pertahan darurat tak wajar - Lim

KATA MP | Terdapat 6 sebab mengapa Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan adalah salah dan tidak bertanggungjawab kerana mempertahankan bahawa kerajaan masih dapat berfungsi dengan baik walaupun Parlimen telah digantung melalui Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa pada 11 Januari 2021.

Pertama, bagaimana kerajaan boleh berfungsi dengan baik apabila hanya dua dari tiga cabang Perlembagaan Persekutuan, iaitu Eksekutif dan Kehakiman, dibenarkan beroperasi?

Perlembagaan Persekutuan hanya lengkap dan sempurna sekiranya ketiga-tiga cabang itu dapat berfungsi iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman sebagai satu bentuk semak dan imbang yang demokratik. 

Menggantung Parlimen, institusi dan cabang Perundangan tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah tindakan khianat terhadap demokrasi berparlimen.

Kedua, berbeza dengan Proklamasi Darurat sebelum ini pada tahun 1969, belum pernah mana-mana Yang DiPertuan Agong menitahkan secara terbuka bahawa Parlimen tidak digantung dan masih boleh bersidang. 

Kini, Yang DiPertuan Agong telah bertitah bahawa Proklamasi Darurat yang ada sekarang hanya bagi menangani krisis kesihatan awam Covid-19 dan tidak menghalang Parlimen untuk bermesyuarat dan berfungsi seperti biasa. Kegagalan mematuhi Yang DiPertuan Agong adalah jelas tindakan derhaka.

Ketiga, tidak ada alasan untuk Parlimen tidak bersidang dan bermesyuarat, ketika sekolah, tempat perniagaan, gelanggang dan bahkan stadium sukan dibenarkan untuk dibuka. 

Keempat, apa gunanya memberi vaksin kepada semua Ahli Parlimen dan mempromosikan Program Vaksinasi Nasional bernilai RM5 bilion, jika Ahli Parlimen dilarang menjalankan tugas dan kuasa mereka, terutama untuk menggubal undang-undang baru dan semak imbang kerajaan.

Kelima, jelas bahawa majoriti Ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, menuntut agar kuasa Parlimen dikembalikan segera. Keenam, rakyat mahu Parlimen bersidang untuk mengkaji dan memansuhkan undang-undang keras seperti kenaikan denda kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat.

Takiyuddin harus menjalankan tugasnya mengikut lunas undang-undang dan tidak bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan titah Yang DiPertuan Agong.


LIM GUAN ENG merupakan ahli parlimen Bagan dan setiausaha agung DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.