Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kontena disyaki berisi sisa plastik dari AS akan ditahan

Malaysia akan menahan sebuah kontena dari Los Angeles, AS yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik apabila ia tiba di Pelabuhan Klang pada 22 Mac ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung kontena terbabit.

Katanya kapal tersebut berlepas dari Los Angeles pada 14 Feb dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang Isnin ini.

Tuan Ibrahim berkata JAS - selaku competent authority bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan lalu - mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik tersebut diterima dari negara pengeksport.

Katanya JAS menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Westport Malaysia Sdn Bhd dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena tersebut.

Pemeriksaan bersepadu JAS, JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang.

"Saya mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa AS yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi amaran kepada ejen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang bersubahat dalam mengimport sebarang sisa terutamanya sisa plastik ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang telah ditetapkan oleh Malaysia," katanya.

- Bernama