Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Putrajaya digesa lantik pesuruhjaya tinggi di Singapura

Kementerian Luar Negeri didesak untuk melantik pesuruhjaya tinggi di Singapura setelah jawatan itu kosong selama 11 bulan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Tan Hong Pin berkata demikian susulan laporan mengenai kesesakan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Rakyat Malaysia yang ingin memperbaharui pasport mereka di sana dilaporkan harus beratur hingga lima jam, menurut The Straits Times Singapura.

"Saya juga ingin menarik perhatian pihak Kementerian Luar Negeri (KLN) tentang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang kosong sejak 11 bulan lalu dan memerlukan perlantikan baharu segera bagi melancarkan operasi pejabat pesuruhjaya berkenaan sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia di Singapura," kata Tan dalam satu kenyataan.

The Straits Times melaporkan bahawa walaupun Pejabat Suruhanjaya Tinggi telah meminta pemohon untuk memohon pembaharuan pasport secara dalam talian dan membuat janji temu, kaedah ini tidak dapat dilaksanakan kanak-kanak dan warga emas.

Sebaliknya, mereka perlu hadir di sana untuk memperbaharui pasport, sedangkan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia menetapkan kuota 30 pemohon sehari sahaja.

Situasi kesesakan itu digambarkan sebagai "huru-hara".

Tan, yang merupakan wakil rakyat dari Johor di mana ramai rakyatnya bekerja di Singapura, mengatakan sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

Akhbar Singapura itu juga bercakap dengan pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Muhammad Radzi Jamaludin, yang enggan memberikan komen.

Awal hari ini, Pakatan Harapan juga mendesak Menteri Luar Negeri Hisahmmuddin Hussein untuk menjelaskan perkara berkenaan.