Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ambank Research naikkan unjuran pendapatan untuk Bursa Malaysia

AmBank Research telah menaikkan unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 Bursa Malaysia Bhd, masing-masing sebanyak 15 peratus, 15.8 peratus dan 5.8 peratus kepada RM367 juta, RM325 juta dan RM287 juta.

Ini selepas mengambil kira nilai dagangan purata harian (DATV) yang tinggi iaitu RM4 bilion, RM3.5 bilion dan RM3.0 bilion daripada RM3.2 bilion, RM2.8 bilion dan RM2.6 bilion untuk pasaran sekuriti sebelumnya.

Dalam satu nota catatannya hari ini, ia berkata Bursa Malaysia dijadual mengeluarkan keputusan suku pertama 2021-nya pada 17 April.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan 10.6 peratus suku ke suku dan 79.2 peratus tahun ke tahun sebanyak RM116 juta berdasarkan kepada DATV yang lebih tinggi dan kontrak harian purata yang diniagakan untuk derivatif.

Untuk tempoh Jan hingga 11 Mac, 2021, DATV (urus niaga dalam pasaran) untuk ekuiti terus kukuh pada RM5.0 bilion berbanding RM4.8 bilion dan RM2.5 bilion, masing-masing pada suku keempat 2020 dan suku pertama 2020.

Sementara bagi tempoh Januari hingga Februari 2021, peratusan DATV yang disumbangkan oleh institusi asing kekal stabil pada 16 peratus.

Dalam pada itu, urus niaga daripada pelabur asing menguasai 36 peratus daripada DATV, yang masih lagi tinggi berbanding 38 peratus pada tahun kewangan 2020, katanya.

- Bernama