Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Tetap bersabar dan teguh bersama Anwar

KATA MP | Saya selaku ahli parlimen Miri dan naib presiden PKR Sabah dan Sarawak tegas dengan pendirian yang dipegang, iaitu tetap berprinsip dan teguh bersama parti dan menyokong penuh pimpinan Anwar Ibrahim.

Sejak beberapa bulan yang lalu saya sudah diajak beberapa kali untuk melompat parti dan mengkhianati Anwar.

Saya diberikan pelbagai tawaran oleh pihak tertentu yang berusaha meruntuhkan proses demokrasi di negara kita melalui kerajaan pintu belakang. Bagaimanapun, pendirian saya tetap kuat dan berprinsip.

Saya tidak bersedia untuk dijual beli oleh mana-mana pihak.

Sudah 21 tahun saya pilih untuk mengikut Anwar dan perjuangan PKR secara sukarela. Saya tetap percaya Anwar seorang pemimpin yang cukup berwibawa memperjuangkan prinsip reformasi dan keadilan untuk semua.

Saya percaya Anwar mempunyai formula untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut yang kini melanda negara kita termasuk kemerosotan ekonomi akibat pelbagai penyelewengan dan urus tadbir lemah yang menyebabkan kadar kemiskinan makin ketara.

Saya percaya Anwar dapat menyatukan rakyat majmuk di Malaysia supaya kita semua dapat hidup secara aman dan harmoni. Saya percaya dia boleh membawa transformasi kepada seluruh Sarawak dan Malaysia, dari segi sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pembanguan terutamanya pembangungan luar bandar.

Rakyat golongan B40 dan penduduk desa yang tertindas sentiasa menjadi tumpuan Anwar. Ia juga merupakan golongan sasaran yang menjadi tumpuan saya di Sarawak selama 50 tahun saya berkhidmat sebagai seorang doktor dan lebih 20 tahun menceburi bidang politik.

Apa jua cabaran melanda

Anwar adalah antara pempimpin yang telah berkorban besar untuk memperjuangkan nasib rakyat sejak era 1970-an semasa dia menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memperjuangkan isu rakyat yang mengalami kebuluran dalam peristiwa Baling di Kedah.

Lebih dua dekad kemudian, apabila Anwar memperjuangkan prinsip reformasi dan antirasuah dalam kerajaan pada tahun 1998, dia dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri ketika itu, ditangkap di bawah ISA dan dibelasah dengan teruk di dalam lokap.

Kebebasan Anwar dirampas selama 10 tahun apabila dipenjarakan sebagai tahanan politik dan mengalami pelbagai keperitan dan kesakitan dari segi kesihatan ketika itu.

Isteri Anwar iaitu mantan timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak mereka Nurul Izzah dan keluarga turut banyak berkorban untuk rakyat dan bertungkus lumus untuk membina PKR selama Anwar dipenjara sebagai tahanan politik.

Terlalu ramai yang telah mengkhianati Anwar dalam tempoh 21 tahun yang lalu.

Bagaimanapun saya tidak rela tergolong dalam kumpulan pengkhianat dan akan memilih untuk kekal bersama Anwar dan PKR tidak kira apa jua cabaran yang melanda.

Saya menyeru semua penyokong dan ahli PKR untuk tetap bersabar dan berdiri teguh berprinsip bersama Anwar. PKR adalah parti masa kini yang sangat relevan dan parti masa depan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.

Bersama kita dapat memenuhi aspirasi rakyat, keadilan untuk Sarawak, keadilan untuk semua.


DR TEO YU KENG ialah ahli parlimen Miri merangkap naib presiden PKR Sabah dan Sarawak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.