Saman pengampunan sabitan liwat: Rayuan Anwar ditangguh lepas hakim tarik diri
Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin telah menarik diri daripada mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman seorang peguam berhubung kesahan pengampunan diraja yang diperoleh bagi sabitan kes liwatnya.
Susulan itu, pendengaran rayuan tersebut hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah ditangguhkan.
Nor Bee, yang mempengerusikan panel itu, berkata pada 2016, dia telah membuat keputusan dalam permohonan semakan kehakiman Anwar dan keluarganya terhadap Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi.
Dia berkata isu kebolehbicaraan keputusan Lembaga Pengampunan dirujuk dalam kes itu dan keputusan telah dibuat dan menambah bahawa permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak atas alasan perkara tersebut tidak dapat dipertahankan.
Katanya dalam rayuan di hadapan panel itu, individu yang berjaya memperoleh pengampunan ialah Anwar.
"Berdasarkan perkembangan ini, saya tidak akan mendengar kes ini dan satu tarikh akan ditetapkan untuk pengurusan kes," katanya.
Hakim S Nantha Balan dan Lee Heng Cheong turut bersidang dalam prosiding yang dikendalikan menerusi aplikasi Zoom.
Nor Bee juga berkata penangguhan pendengaran kes itu di Mahkamah Tinggi akan dilanjutkan sehingga rayuan selesai.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah, yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, individu yang memfailkan saman terhadap Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah mengemukakan permohonan agar Nor Bee menarik diri daripada mendengar rayuan itu.
Bagaimanapun, peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar tidak membantah Nor Bee mempengerusikan panel itu untuk mendengar rayuan tersebut.
Pada 21 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul, yang juga seorang peguam, mempunyai locus standi dalam memulakan saman itu kerana dia adalah masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam.
Anwar, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman itu pada 26 Feb tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas PRU Ke-14.
Dia mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baru.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azland dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.
Peguam Datuk M Reza Hassan turut mewakili Mohd Khairul Azam, J. Leela mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan hadir bagi pihak Lembaga Pengampunan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai