Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

S'wak tak sekat Kristian guna kalimah Allah dengan hormat

Kerajaan Negeri yang dibentuk oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi agama Sarawak, kerana ia adalah faktor yang menjadi teras dalam perpaduan penduduk negeri.

Satu kenyataan dari pejabat Ketua Menteri di Kuching hari ini berkata pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg konsisten terhadap dasar yang berkaitan dengan toleransi agama dalam negeri, sebagaimana yang diterapkan oleh kepimpinan terdahulu yang diterajui oleh Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak di media berhubung isu penggunaan perkataan “Allah” oleh bukan Muslim.

“Kaum Muslim hormat kepada Kristian, sebagaimana Kristian menghormati Muslim, dan juga mereka dari agama lain. Tidak ada sebarang sekatan bagi Kristian di Sarawak untuk menggunakan perkataan “Allah” dengan penuh hormat. Usaha kita membantu lain-lain agama menerusi penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) menjadi bukti,” menurutnya.

Katanya tindakan sesetengah pihak seolah-olah memperjuangkan isu itu adalah sekadar berpura-pura, dengan menggunakan fraseologi Allahyarham Adenan berhubung toleransi keagamaan; dan hasrat pihak-pihak ini adalah semata-mata untuk mempolitikkan isu, menjelang ketibaan pilihan raya negeri (PRN).

“Kepimpinan GPS bercaya orang ramai tidak akan terpengaruh dengan taktik bagi menyemai keraguan terhadap pendirian kerajaan, sebaliknya akan terus berdiri teguh melindungi perpaduan agama di Sarawak,” tambahnya.

- Bernama