Polis siasat dakwaan beberapa menteri ingkar SOP
Polis membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi tujuan memulakan siasatan terhadap tuduhan beberapa menteri telah melanggar SOP dengan merentas sempada negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof hari ini.
Kamarul berkata polis Sepang melancarkan siasatan berikutan laporan polis daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengenai dakwaan tersebut.
Untuk rekod, Muda membuat laporan polis mengenai perkara itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada 16 Mac.
Bagaimanapun, siasatan itu berada bawah seliaan polis Sepang kerana pengasas bersama jawatankuasa penaja Muda, Mutalib Uthman menyebut dalam laporan bahawa dia mengetahui mengenai tuduhan itu ketika dia berada di Sepang.
Dinyatakan secara khusus dalam laporan tersebut ialah Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.
Selain empat menteri dan seorang timbalan menteri, Ahli Parlimen Umno Padang Terap Mahdzir Khalid juga turut dinamakan dalam laporan polis itu.
Mereka dikatakan hadir majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac 2021.
Wan Kamarul ditanya sekiranya polis sudah atau akan merakam kenyataan daripada menteri berkaitan tidak lama lagi.
Jawabnya, pihaknya sedang menunggu arahan daripada ibu pejabat polis Bukit Aman.
"Tunggu arahan lanjut daripada (ibu pejabat) kontinjen (polis Selangor) dan Bukit Aman," katanya.
Sementara itu, anggota Muda, Mutalib Uthman, ketika dihubungi berkata dia baru saja memberikan kenyataannya di ibu pejabat polis daerah Sepang.
"Kenyataan itu menyusuli laporan polis saya di Dang Wangi yang mana saya menyatakan bahawa saya membaca mengenai menteri-menteri yang melanggar SOP ketika saya berada di Sepang.
"Polis menyoal saya selama hampir dua jam tetapi mereka bersikap sopan dan profesional," katanya.
Mutalib menegaskan dia tidak menyesal dalam memfailkan laporan polis itu.
Ini, jelasnya kerana perlu ada seseorang yang melakukan hal itu untuk menunjukkan layanan "dua darjat" antara orang awam dan menteri berhubung pelaksanaan SOP.
Sebelum ini, gambar beberapa menteri di majlis perkahwinan itu dimuat naik oleh Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohd Zaidy Abdul Kadir di akaun Instagramnya sebelum kemudiannya dipadamkan.
Pun begitu, netizen telah mengambil tangkap layar gambar tersebut dan memuat naiknya semula di Twitter.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai