Kes 1MDB: BN gesa k'jaan AS beri akses dokumen pada Najib
BN menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mendedahkan bukti yang mungkin dapat membantu pembelaan Najib Razak dalam perbicaraan berkaitan 1MDB terhadapnya.
Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan BN Azalina Othman Said berkata, menyekat perkara seumpama itu bersamaan dengan mencabuli hak asas Najib untuk mendapat perbicaraan yang saksama.
"Menyekat bukti seperti itu daripada Najib adalah pelanggaran serius terhadap haknya untuk mendapat perbicaraan yang saksama.
"Malah, kerajaan AS patut mendedahkan bukti yang mungkin memberi penemuan penting dalam pembelaan Najib," kata Azalina dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pasukan perundangan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng dilaporkan membangkitkan dakwaan yang pentabdiran AS berpakat dengan Goldman Sachs untuk menghalang Najib daripada mengakses testimoni dan dokumen berkaitan 1MDB.
Najib telah mendapatkan perintah mahkamah di AS agar Goldman Sachs dan bekas pegawainya Tim Leissner memebrikan dokumen dan testimoni yang penting untuk pembelaan terhadap pertuduhan yang dihadapi bekas perdana menteri itu di Malaysia.
Ia melibatkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Perbicaraan sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kerajaan AS memfailkan permohonan penangguhan perintah mahkamah tersebut.
Dalam sepucuk surat bertarikh 14 Mac, pasukan perundangan Najib menegaskan kepada mahkamah di AS yang bukti dokumen dan testimoni tersebut sangat penting bagi pembelaan di Malaysia.
Apa yang mengejutkan, kata Azalina lagi, surat tersebut turut mendakwa kerajaan AS seperti secara aktif melindungi Goldman Sachs dan kedua-duanya mempunyai kepentingan sama.
"Ini sangat membimbangkan...Hak untuk perbicaraan saksama adalah hak asasi manusia," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai