Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wang Yayasan Akalbudi diguna bayar kajian pengundi - saksi

Wang Yayasan Akalbudi digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi pilihan raya, kata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau.

Khairudin yang merupakan saksi ke-99 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi mengenai bayaran berjumlah RM360,000 kepada sebuah syarikat.

“Berdasarkan dokumen-dokumen dan maklumat saksi-saksi, isu bayaran kepada TS Consultancy & Resources (TS Consultancy) menunjukkan ia digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi.

“Pemilik syarikat iaitu Jasni Majid dan Sabri Said mengesahkan syarikat Consultancy ditubuhkan pada tahun 2015 bagi program pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti Umno dan di awal penubuhan menerima dana dari pejabat parti Umno,” katanya.

Ahmad Zahid merupakan pemilik Yayasan Akalbudi serta pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Kata Khairudin, cek pertama berjumlah RM100,000 diterima Sabri pada Ogos 2015 manakala cek kedua berjumlah RM260,000 diterima Jasni pada November 2016. Setiap cek diserahkan oleh penasihat khas bekas timbalan perdana menteri itu dan pegawai khas Ahmad Zahid.

Pada Dis 2019, Jasni hadir memberikan keterangan di mahkamah sebagai saksi ke-16, dan menyatakan wang RM360,000 itu digunakan untuk kerja pendaftaran pengundi, dengan kerjasama Umno, menerusi dua cek milik Yayasan Akalbudi.

Katanya, Ahmad Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu memberikan dana kepada Consultancy bagi membantu kerja pendaftaran pengundi kerana Unit Khas (Pengurusan Strategik) Pejabat Timbalan Perdana Menteri berada bawah pejabat itu.

Pendaftaran pengundi itu, katanya dilakukan di kawasan yang dimenangi tipis oleh BN pada pilihan raya umum (PRU) sebelumnya (PRU-13), dan diutamakan kepada pengundi berbangsa Melayu.

Sabri yang hadir sebagai saksi ke-17 pula menjelaskan Unit Khas (Pengurusan Strategik) Pejabat Timbalan Perdana Menteri bertujuan melaksana tugas-tugas berkaitan pendaftaran pengundi, aspek persempadanan dan kawasan pilihan raya, sama ada parlimen atau DUN serta memantau pilihan raya.

Kedua-dua saksi juga menjawab tidak tahu apabila peguam Ahmad Zahid cuba mencadangkan sumbangan berkenaan sebenarnya diberikan untuk tujuan mencetak naskhah Al-Quran.

Antara hal lain yang dibangkitkan Khairudin dalam perbicaraan pagi tadi semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, ialah:

  • Ketika mahu mendapatkan dokumen Yayasan Akalbudi, Khairudin pergi ke alamat berdaftar (di Jalan Raja Abdullah mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat), tetapi mendapati tiada pejabat Yayasan Akalbudi. Semakannya mendapati Yayasan Akalbudi tidak pernah beroperasi di alamat didaftarkan.

  • Siasatan Khairudin mendapati Tetuan Lewis & Co, bukan pemegang amanah atau peguam kepada Yayasan Akalbudi - seperti dicadangkan pihak pembelaan sepanjang perbicaraa - malah tidak mempunyai “apa-apa hubungan” dengan yayasan itu. Sebaliknya, pelanggan Lewis & Co ialah Yayasan Al-Falah (dipengerusikan adik kandung Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi) dan Ahmad Zahid sendiri. Pun begitu, katanya, daripada siasatannya, Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah tiada sebarang hubungan rasmi.

  • Khairudin mengesahkan, berdasarkan penyata akaun Yayasan Akalbudi dari Dis 2012 hingga Mei 2018, pengeluaran wang terakhir adalah pada 28 Mei 2018 - selepas PRU-14 - berjumlah RM9,302,823.66, dibayar kepada Yayasan Al-Falah, atas tujuan yang “tidak berapa jelas”. Khairudin berkata, dia tidak menjumpai apa-apa minit mesyuarat atau resolusi berkenaan pemindahan wang tersebut.

Dalam pemeriksaan balas oleh Ahmad Zaidi Zainal, Khairudin bersetuju bahawa alamat yang didaftarkan dengan SSM ada kalanya berbeza dengan alamat perniagaan sesuatu syarikat.

Khairudin turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa tanggungjawab menyediakan laporan audit, resolusi dan dokumen-dokumen lain adalah tanggungjawab setiausaha syarikat, tanpa perlu diarah untuk melakukannya.

Selain itu, Ahmad Zaidi turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah membuat laporan polis pada 31 Dis tahun lepas berhubung keterangan seorang rakan kongsi Lewis & Co yang memberikan keterangan sebagai saksi pada Ogos tahun lalu.

Ahmad Zaidi membaca laporan polis Ahmad Zahid yang menegaskan bahawa dia telah melantik Lewis & Co sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi, dan dana yang diuruskan oleh firma itu adalah milik Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan keterangan rakan-rakan kongsi Lewis & Co sebelum ini, mereka menafikan firma mereka menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan yang masuk hari ke-52 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.