MCA Sabah gesa siasat individu beri amaran tutup gereja
Wanita MCA Sabah menggesa pihak berkuasa menyiasat video seorang wanita yang mengugut penutupan gereja, gara-gara tidak berpuas hati dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Pengerusi Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong berkata gesaan wanita itu yang mengugut penutupan gereja dan untuk “menghancurkan puak-puak Kristian”, bersifat menghasut.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysi mesti melancarkan penyiasatan dan mengambil tindakan memandangkan seruan seumpama itu adalah fitnah dan mengancam keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga harus menyekat hantarannya daripada disebarkan lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ulasan yang dimaksudkan Yong terkandung dalam video siaran langsung di Facebook wanita berkenaan, berdurasi 12:34 minit.
Video itu bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Wanita itu antaranya berkata:
“Tolong respect sendiri hati orang-orang umat Islam di negara ini. Ini Tanah Melayu. Agama kami agama rasmi. Agama persekutuan adalah agama Islam.
“Jangan sampai kami minta pada majlis-majlis untuk tutup semua gereja yang ada di Malaysia ini. Jangan sampai saya dan team saya buat tindakan untuk menghancurkan puak-puak Kristian di negara Malaysia ini.”
Di profil media sosialnya, wanita itu berkata dia terlibat dalam beberapa NGO dan kumpulan di negara ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam pada 1986.
Justeru mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.
Susulan itu, diputuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai