Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PBT setuju tangguh roboh kuil Hindu di Sungai Petani

Pada 15 Mac sebuah kuil kecil di Jalan Awam, Sungai Petani menerima notis perohoan daripada pihak berkuasa tempatan di situ dan mereka diberikan masa tiga hari untuk berpindah.

Bagaimanapun di sebalik notis yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Sungi Petani (MPSP) itu perobohan Kuil Nagammal yang terletak di Taman Mutiara kini ditangguhkan.

Ia berlaku selepas MPSP bersetuju mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan semua pihak berkepentingan.

Penangguhan itu disahkan pegawai khas Menteri Besar Kedah, K Kumaresan.

"Sebaik saja menerima aduan daripada pihak kuil, saya bergegas ke sana.

"Saya bersama dua wakil kuil itu juga mengadakan perbincangan dengan pegawai penguat kuasa MPSP tengah hari tadi.

"Hasil daripada perbincangan itu, tindakan merobohkan kuil ditangguhkan," katanya kepada Malaysiakini.

Kumaresan juga berkata satu mesyuarat membabitkan MPSP, pihak kuil, pemilik tanah, exco masyarakat India dan exco perpaduan akan diadakan pada 22 Mac ini.

Terdahulu, Adun Bukit Selambau, Dr Summugam Rengasamy berkata penganut Hindu berasa kesal dengan keputusan MPSP dan tidak tahu mengapa kuil berkenaan disasarkan untuk dirobohkan.

PAS komponen penting PN

"Ini adalah kuil kecil, 4 meter kali 5 meter. Saya baru saja mengunjunginya pagi tadi.

"Kami diberitahu jika kuil itu tidak dialihkan sebelum 18 Mac, tindakan penguatkuasaan akan dilakukan pada 19 Mac.

"Saya telah menulis surat kepada Yang Dipertua MPSP Syed Khairol Anuar Syed Abidin untuk memintanya menangguhkan perobohan sehingga semua pihak dapat membincangkan hal ini," katanya.

Summugam berkata Kuil Nagammal itu telah wujud di situ sejak 15 tahun lalu.

"Kira-kira 15 tahun yang lalu, seorang pemaju yang berpangkalan di Pulau Pinang memindahkan beberapa penduduk dan membina kuil kecil ini.

"Ia kecil, tidak digunakan untuk sembahyang atau majlis besar, sebaliknya hanya untuk sembahyang sederhana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy menganggap tindakan merobohkan kuil itu - jika dilaksanakan - adalah perbuatan tercela.

"Tahun lalu, dua kuil Hindu dirobohkan di negeri itu. Satu kuil warisan di Alor Setar dan beberapa bulan kemudian di Kulim.

"Nampaknya kerajaan PAS Kedah menerapkan pendekatan sistematik untuk merobohkan kuil Hindu terutama yang berada di tanah kerajaan atau swasta," katanya.

Ramasamy menyatakan tindakan kerajaan negeri merobohkan kuil itu bukan suatu kebetulan atau untuk memastikan kepatuhan terhadap undang-undang kerajaan tempatan.

Sebaliknya kata Ramasamy ia merupakan hasil kepemimpinan ekstrem dan tanpa toleransi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

"Jika Sanusi boleh membatalkan cuti peristiwa perayaan Thaipusam tanpa rasa bersalah atau kesal, bayangkan nasib menyedihkan tempat-tempat ibadat bukan Islam terutama yang melanggar undang-undang.

"Dengan PAS sebagai parti komponen penting dalam PN, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa pusat untuk mengekang Kedah," tambahnya.

Dihubungi kemudian, Pengerusi Kuil Nagammal, R Subramaniam menyatakan rasa kesal pihaknya terhadap notis MPSP.

"Kuil ini dibina di tempat swasta oleh pemilik tanah. Sehingga kini, pemilik tanah tidak meminta kami untuk mengalihkan kuil ini. Jadi, apa perlunya MPSP merobohkan kuil ini?" soalnya.

Dia turut memberitahu alasan MPSP ialah mereka menerima aduan awam daripada pihak ketiga untuk mengalihkan kuil itu namun menganggapnya tidak terpakai untuk tindakan tersebut.