Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun DAP dikritik cadang henti sewakan rumah kayu pada warga asing

Seorang Adun DAP yang memetik insiden kebakaran sebagai alasan untuk berhenti menyewakan rumah kayu kepada pekerja warga asing mencetuskan tuduhan bahawa kenyataan itu bersifat diskriminasi.

Namun, Adun Pandamaran, Tony Leong berkata bahawa dia tidak bersikap diskriminatif dan sebaliknya mengatakan bahawa dia merujuk kepada banyak kejadian kebakaran yang serupa.

Kontroversi bermula ketika Leong memuat naik kenyataan di Facebook mengenai empat rumah terbakar di sepanjang Jalan Jambu, di Klang, Selangor.

Leong berkata, kejadian itu disebabkan kecuaian pekerja warga asing ketika memasak.

"Kami meminta semua penduduk kampung untuk tidak menyewakan rumah kayu kepada pekerja asing. Kita harus bersatu untuk mengelakkan kejadian yang tidak menyenangkan," katanya.

Kiriman di media sosialnya mendapat kritikan, dengan banyak yang menuduhnya bersifat diskriminasi dan berpendapat bahawa isu bahaya kebakaran tidak boleh dilihat berdasarkan kaum.

Leong mempertahankan kenyataannya dan mengatakan pekerja warga asing kadang-kadang cuai.

"Rumah kayu lebih mudah terbakar. Pekerja asing kadang-kadang boleh cuai, jadi jangan menyewakan rumah kayu kepada mereka.

"Lebih baik mereka tinggal di rumah batu. Walaupun ada kebakaran, ia tidak mudah merebak ke rumah jiran," katanya dalam jawapan kepada salah satu kritikannya.

Leong, ketika dihubungi, menyatakan bahawa dia tidak bermaksud untuk melakukan diskriminasi terhadap pekerja warga asing.

Sebaliknya, Leong mendakwa dia mahukan keadaan perumahan yang lebih baik untuk mereka, seperti rumah pangsa, pangsapuri atau rumah jenis lain yang diperbuat daripada batu.

"Mungkin kata-kata saya menimbulkan beberapa kesalahfahaman, tetapi apa yang saya cuba sampaikan ialah kerajaan dan majikan harus bertanggungjawab.

"Saya tidak mengatakan orang tidak boleh menyewakan rumah kepada mereka. Sekiranya rumah pangsa atau pangsapuri, maka tidak mengapa.

"Jadi tidak benar untuk mengatakan bahawa saya mendiskriminasi pekerja warga asing," tambahnya.

Leong berkata, kerajaan harus membuat undang-undang yang mencegah penduduk tempatan menyewakan rumah kayu, yang lebih mudah terbakar, kepada pekerja warga asing.

Dia juga mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan model perumahan berpusat seperti di Singapura untuk pekerja warga asing.

"Lebih mudah untuk pengurusan. Saya tahu pekerja asing telah banyak menyumbang kepada Malaysia dan keadaan perumahan mereka sangat buruk," katanya.

Leong mengatakan sejak dia terpilih sebagai wakil rakyat Pandamaran pada tahun 2018, dia telah menerima laporan sejumlah kebakaran yang disebabkan oleh pekerja warga asing ketika mereka sedang memasak.

Sebaliknya, katanya, kejadian yang melibatkan penduduk tempatan disebabkan oleh kebakaran elektrik.

"Saya telah menangani tiga kes kebakaran yang melibatkan pekerja warga asing. Saya merasa kasihan kepada mereka. Tetapi setiap kali saya turun padang, penduduk akan bertanya 'mengapa anda tidak menghalang pekerja warga asing menyewa rumah kayu?'

"Jadi saya fikir Malaysia memerlukan undang-undang yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.