Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Teori berita Barat harus dinilai semula

ULASAN | Forum “Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan” yang berlangsung pada 24 Februari lalu anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) di Cyberjaya, Selangor mencetuskan isu menarik - bahawa kewartawanan Malaysia perlu mencari platform tempatan dan menilai semula pengaruh kewartwanan Barat yang terdapat dalam buku teks pengajaran pensyarah.

Apa yang dimaksudkan, antaranya, teori pemberitaan Barat yang seakan-akan kanun yang menyatakan bahawa bad news is good news dan when man bites a dog is news harus dinyahkan dalam pengajaran pemberitaan di negara ini.

Penulis adalah salah seorang daripada lima panel yang dijemput menghadiri forum tersebut. Dalam perbincangan dan kaitan dengan buku teks kewartawanan, saya mengutarakan bahawa berita tidak semestinya sesuatu yang buruk dan apa yang perlu diajar oleh pensyarah-pensyarah kewartawanan ialah mengutamakan nilai-nilai bukan Barat terutamanya yang dianjurkan Islam.

Negara-negara Timur yang lain harus turut dijadikan sebagai nilai berita yang diajar kepada pelajar wartawan tempatan.

Empat orang ahli panel yang mengambil bahagian dalam forum tersebut ialah presiden MJTS, Profesor Dr Ahmad Murad Merican, ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI, Dr Mohd Safar Hasim, ahli akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amirul Akhbar dan penasihat editorial portal berita Bebasnews yang juga mantan penolong ketua pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan.

Pengerusi MPI, Dr Chamil Wariya bertindak sebagai moderator.

Penulis memberikan beberapa pandangan berhubungan dengan penulisan buku teks di negara ini. Forum ini juga diadakan sempena menyambut 50 tahun usia pengajian komunikasi di Malaysia yang dimulakan penawarannya oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1971.

Berhubung dengan teori pemberitaan Barat berkaitan pemberitaan sensasi, ia dilihat sebagai keperluan untuk menjadikan sesuatu berita lebih “hidup” khususnya melibatkan liputan jenayah. Media pula berharap dengan pemberitaan sensasi akhbar mereka mudah dijual, jumlah iklan di laman sesawang meningkat dan semakin banyak Like diterima.

Paparan yang semakin meluas ini meliputi elemen-elemen sensasi seperti gambar mangsa pembunuhan agar menunjukkan betapa zalimnya si pembunuh, perkara-perkara mistik, kematian, gosip serta skandal artis dan pemimpin politik.

Fakta sensasi lawan pertimbangan moral

Tidak dinafikan dalam keghairahan untuk mengejar scoop, pemberitaan sensasi juga ada ketikanya memaparkan cara penulisan yang tidak sepatutnya. Sememangnya, pelaporan sesuatu berita adalah berdasarkan kejadian yang sebenar dan berdasarkan laporan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Namun, corak penulisan yang terlalu tertumpu kepada sesuatu aspek dengan mendalam boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pembaca terutamanya jika pembaca membaca akhbar tersebut di hadapan anak-anak dan keluarganya.

Teori berita di atas meletakkan fakta sensasi daripada pertimbangan moral dan etika. Ini kerana bagi mereka apakah yang menjual berita jika tiada isu sensasi maka akhbar dan laman sesawang mereka tidak laku atau dibaca oleh khalayak.

Ukuran yang dibuat atas sesuatu berita ialah yang menentukan ia sebagai berita ialah jumlah kematian dan kerugian misalnya, pembunuhan, skandal politik dan artis atau orang ternama, artis mengandung misalnya, semua ini terkandung dalam bad news is good news dan when man bites a dog is news.

Bukan semua berita boleh dikelompok ke dalam bidalan-bidalan atau teori seperti ini. Kekadang penggunaan teori-teori ini adalah disensasikan dengan tujuan pembunuhan karakter mengikut kecenderungan pemilik media yang berkaitan faktor politik dan ekonomi seperti kes liwat Anwar Ibrahim dan kes saman yang lain. Namun ada kalanya teori bad news is good menampakkan positif apabila seorang pemimpin yang zalim meninggal dunia.

Namun kedua-dua teori tersebut memberikan impak yang besar kepada dunia Islam dan negara membangun apabila laporan yang dibuat media Barat terkandung sensasi, salah fakta, pemesongan berita atau berita palsu. Dalam isu AS berperang dengan Iraq dan penaklukannya pada Mac 2003, alasan yang diberikan Presiden AS, George W Bush dan perdana menteri Britain ialah presiden Iraq menyimpan senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Ini berdasarkan kajian PhD seorang pelajar Iraq.

Berita ini disensasikan ke serata dunia sebagai benar padahal ia adalah berita palsu dan pembohongan dan ia terima sebagai suatu fakta dalam pemberitaan yang dilaporkan media Barat. Bayangkan betapa buruknya impak teori tersebut. Selepas tentera Iraq menakluki Iraq tiada berita dilaporkan mengenai pencarian bom nuklear atau WMD. Semua telah dilupakan seolah-olah berlaku penyakit hilang ingatan atau amnesia.

Isu Islamofobia yang tercetus selepas serangan dua kapal terbang ke dua bangunan berkembar Pusat Perdagangan Dunia di New York juga menjadi isu menakutkan dunia bukan Islam khususnya Barat yang memandang mereka yang berjambang dan bernama Islam dipandang sebagai pengganas. Islam telah dirumuskan sebagai agama keganasan dan Al- Quran dipijak dan dibakar di tempat-tempat tertentu di Barat.

Walaupun keganasan dilakukan oleh segelintir tetapi umat Islam dan agama telah dilabel atau dikaitkan dengan keganasan. Tahap kebencian terhadap Islam di Eropah Barat dan Amerika sangat tinggi.

Pesan buat guru-guru kewartawan

Bukankah semua ini ada kaitan dengan corak pemberitaan bad news is good news dan when man bites a dog is news yang menjadi ukuran, garis panduan dalam menulis berita yang amat berkaitan dengan nilai berita. Guru-guru kewartawan dalam pengajaran di sekolah-sekolah atau program kewartawanan di negara ini tidak seharusnya mencedok atau mentaklid buta terhadap teori-teori berita dan nilai-nilai berita kewartawanan Barat ini dan menjadi burung kakak tua sahaja.

Mereka harus bersikap kritikal untuk menyaring apa yang mereka baca untuk disesuaikan dengan suasana tempatan. Harus juga diingat bidang kewartawanan tidak berkhusus kepada berita sahaja kerana ia meliputi aspek-aspek pojok dan rencana yang sering diabaikan dalam pengajaran dan penghasilan buku teks. Di samping itu bidang kewartawanan adalah profesyen ilmu dan pengetahuan yang merangkumi sejarah, falsafah, sosial, budaya, sains dan teknologi dan aspek-aspek lain juga.

Kewartawanan Malaysia tidak seharus merujuk kepada teks Barat sepenuhnya. Para pensyarah yang mengajar haruslah bersifat selektif ketika merujuk kepada buku teks kewartawanan Barat yang digunakan. Namun tidak dinafikan Malaysia amat kekurangan dalam buku teks kewartawanan tempatan apatah lagi mengahasilkan buku teksnya. Ini adalah cabaran besar yang dihadapi ahli akademik tempatan.

Malah minat untuk menerbitkan buku-buku akademik itu menurun dalam kalangan orang-orang akademik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam bidang kewartawanan.

Hal ini dikatakan berlaku kerana buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh ahli-ahli akademik tidak diambil kira dalam kenaikan pangkat menjadi menjawat jawatan kanan, profesor madya atau profesor di universiti awam. Ia seolah-olah menurunkan motivasi mereka. Ini ditambah pula dengan kalangan akademik yang dibebani dengan kerja-kerja pentadbiran dan semangat untuk menulis buku teks sebagai sumbangan ilmu itu akan sirna.

Menurut mereka apa yang dinilai adalah artikel-artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal akademik yang berstatus Scorpus sekurang-kurangnya menyebabkan fokus para pensyarah di universiti tidak lagi tertumpu menulis buku ilmiah dalam bidang masing-masing, tetapi sebaliknya menghasilkan artikel ilmiah bagi diterbitkan dalam jurnal-jurnal terpilih.

Hal ini antara lain disentuh oleh Profesor Dr Faridah Ibrahim daripada Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Dr Mumtaz Aini (Universiti Malaya), Profesor Ahmad Murad dan beberapa yang lain sewaktu menyatakan pandangan mereka pada forum tersebut dalam forum yang berlangsung secara maya melalui Google Meet dan Facebook Live.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Universiti Selangor dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.