Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pindaan Akta 355, RUU sekat pengembangan agama bukan Islam bakal diperkenal

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan beberapa undang-undang syariah akan digubal manakala beberapa akta lain akan dipinda bawah rancangan pelan pemerkasaan undang-undang syariah Wilayah Persekutuan selama lima tahun.

Beliau berkata antara perubahan adalah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

"Bagi memperkasakan undang-undang syariah, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, kerajaan telah merangka Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2020 hingga 2025.

"Dalam pelan pemerkasaan ini, kerajaan bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baharu dan undang-undang sedia ada dan lapan undang-undang subsidari," kata Marzuk, yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa.

Pindaan terhadap Akta 355 telah menjadi hasrat PAS sekian lama untuk membolehkan pelaksanaan sebahagian hukum hudud.

Ini melibatkan peningkatan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Akta 355 kepada sehingga 30 tahun penjara, 100 kali sebatan rotan dan denda sehingga RM100,000.

Pindaan ini akan membolehkan hukuman yang dijatuhkan sesuai dengan hukum hudud.

Ketika ini, hukuman maksimum di bawah Akta 355 adalah hanya denda sehingga RM5,000, enam kali sebatan rotan dan tiga tahun penjara.

Mengenai RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, Marzuk sebelum ini mengemukakan usul berkenaan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah".

Sestengah kumpulan konservatif percaya penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam adalah konspirasi untuk memurtadkan umat Islam.

Namun, pagi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, mereka telah menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada Tuhan selama beratus-ratus tahun dan hanya mengamalkan kepercayaan mereka sendiri.

Malah terdapat komuniti Kristian yang berbahasa Melayu yang besar di Sabah dan Sarawak.

Penghakiman mahkamah itu sendiri adalah susulan cabaran yang dibawa oleh seorang Melanau Kristian dari Sarawak, yang tidak berpuas hati apabila CD-nya mengenai agama Kristian yang menyebut Tuhan sebagai "Allah" dirampas oleh pihak berkuasa.

Di bawah pelan pemerkasaan syariah, akan terdapat undang-undang baru mengenai wakaf, mufti dan mahkamah syariah.

Ini adalah pindaan utama kepada undang-undang syariah sekarang yang menentukan udang-undang agama Islam di wilayah persekutuan.