Perubahan iklim: Pakar optimis wawasan hijau China
GLOBAL | Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025) China yang diwartakan minggu lalu, mendapat perhatian dunia malah pakar asing turut optimis terhadap wawasan yang merencanakan hala tuju pembangunan masa depan negara ini.
Pakar asing menyatakan rancangan itu sekali gus memaparkan imej China yang bertanggungjawab meletakkan kepentingan ekologi dan pertumbuhan hijau sebagai keutamaan.
Sebastien Perimony, pakar isu antarabangsa dari Institut Schiller Perancis, menyifatkan FYP itu sangat impresif kerana usaha pembaruan diperkasakan menerusi kajian dan penerokaan yang berterusan.
"China telah mempelopori banyak bidang berkat pelaksanaan skim pelaburan yang menyasarkan sains dan teknologi," jelas Perimony.
Beliau turut memuji prestasi negara Tembok Besar itu dalam memerangi kemiskinan.
"Seperti diketahui umum, jaminan hak asasi pada asasnya lebih menjurus kepada tindakan menampung kehidupan rakyat dan mengisi perut mereka.
"Pencapaian China dalam menghapuskan kemiskinan mutlak bukan sahaja memberikan inspirasi kepada rakyat negara itu, malah juga kepada warga seluruh dunia," ujarnya.
Menyentuh mengenai pembangunan berkualiti, Pengarah Pusat Pengajian China dari Institut Polisi Pembangunan Lestari (SDPI) Pakistan, Shakeel Ahmad Ramay berpendapat, ia bukan sekadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga terletak pada usaha menambah baik alam sekitar.
"Seperti yang ditetapkan dalam FYP berkenaan, pembangunan rendah karbon yang menjadi keutamaan China akan dipergiat dalam beberapa tahun akan datang.
"Sementara itu, langkah mengawal projek-projek yang memerlukan lebih banyak tenaga dengan pelepasan karbon tinggi juga akan dilaksanakan," katanya.
Menurut Shakeel, pembangunan hijau yang dipergiat di China akan turut membantu dunia mengatasi cabaran persekitaran dan perubahan iklim.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai