Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Baling bom petrol: Polis tahan lelaki dan wanita

Polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling bom petrol (molotov cocktail) di hadapan sebuah rumah di Taman Cahaya Masai di Johor Bahru awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kedua-dua suspek warga tempatan berumur 30 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 malam tadi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di Johor Bahru, susulan laporan daripada mangsa yang juga lelaki tempatan berumur 30 tahun.

“Mangsa menerusi laporan polis mendakwa dibaling bom petrol terbabit di hadapan rumahnya kira-kira 9 pagi, 4 Mac lepas yang mengakibatkan kebakaran pada hadapan rumah dan kenderaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata selain penahanan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, dua tong plastik, satu botol plastik, satu botol aluminium serta satu corong plastik daripada lelaki dan wanita terbabit.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah manakala suspek wanita pula memiliki satu rekod jenayah, namun, kedua-duanya negatif terhadap dadah.

Menurut Mohd Sohaimi, siasatan awal mempercayai kedua-dua mereka juga terlibat dengan beberapa kes membaling bom petrol dan cat di sekitar kawasan Seri Alam.

“Perbuatan terbabit bermotifkan tuntutan hutang terhadap sesuatu pihak dan kedua-duanya diupah dengan kadar bayaran tertentu oleh pihak pemberi pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.

Katanya, suspek lelaki direman hingga 20 Mac manakala suspek wanita direman hingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

- Bernama