Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ordinan berita palsu boleh sebabkan penahanan sewenangnya - NGO

Sebuah kumpulan hak asasi menggesa kerajaan supaya menarik balik ordinan darurat berhubung berita palsu kerana menyifatkan ia boleh menyebabkan penahanan semberono ke atas individu yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat.

“Ordinan itu menyatakan bahawa kerajaan, polis dan mana-mana 'pegawai yang diberi kuasa' yang bertindak 'dengan niat baik' akan 'kebal' dari sebarang pendakwaan atau prosiding.

“Semua kesalahan yang ditetapkan dalam peraturan itu merupakan satu kesalahan besar, yang bermaksud polis boleh menangkap suspek tanpa waran. Kemungkinan penahanan sewenang-wenang tanpa akses amat membimbangkan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Article 19 merupakan sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada tahun 1987 dengan mandat dan fokus terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat di seluruh dunia.

Berpusat di London, ia bekerjasama dengan hampir 100 organisasi di lebih 60 negara di seluruh dunia.

Selain itu, Article 19 juga menjelaskan, ordinan 'berita palsu' membatasi cabaran undang-undang kerana individu yang dikenakan perintah mahkamah untuk membuang kandungan mungkin tidak dapat memohon untuk mengetepikan perintah itu.

“Definisi (berita palsu) ini dalam skop luas, menjadikan ia tidak sesuai dengan perintah perundangan serta membataskan hak kebebasan bersuara di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” jelasnya.

Tambah kumpulan itu, ia juga bukan cara yang wajar dilakukan oleh pihak berkuasa untuk megekang berita palsu berhubung Covid-19.

“Boleh menggunakan cara jangka panjang seperti mempromosikan media dan literasi digital, menerapkan (kesan berita palsu) dalam subjek sekolah, dan libat urus bersama masyarakat,” tambah Article 19.

Kumpulan itu turut menggesa pembukaan sidang Parlimen secepatnya supaya ordinan terbabit dapat dinilai semula.

Untuk rekod, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, yang berkuatkuasa pada 12 Mac memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebar "berita palsu" berkaitan pengisytiharan darurat dan Covid -19.

Menurut Seksyen 10 ordinan tersebut, undang-undang ini melangkaui Akta Keterangan 1950, yang merupakan undang-undang dasar mengenai pengendalian bukti bagi kes-kes jenayah biasa.

Sebaliknya, ordinan tersebut memberikan definisi tersendiri mengenai bagaimana sesuatu bukti dikendalikan di mahkamah.

Ini termasuk membenarkan bukti yang diperoleh dengan apa cara sekalipun untuk diterima, membenarkan bahan alternatif bagi bukti yang tidak dikemukakan di mahkamah dan menerima salinan dokumen yang bertentangan dengan yang asli.