Polis tahan lelaki terlibat kes bunuh di Bangsar
Polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki di Bangsar, yang berlaku petang semalam.
Suspek berusia 26 tahun itu, ditahan di Selayang Baru, Batu Caves, di Kuala Lumpur oleh sepasukan polis pada kira-kira 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata dalam penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek jenis Oppo Reno 4.
Hasil soal siasat terhadap suspek, membawa polis ke beberapa buah rumah suspek-suspek yang masih bebas.
“Namun, kami tiba di rumah terbabit, suspek-suspek lain yang terlibat kes ini dipercayai telah melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, polis kini giat mengesan suspek-suspek yang masih bebas.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan,” katanya sambil menambah suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera parah dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki lain di Jalan Telawi 2, Bangsar, dipercayai akibat dendam.
Sanjeet Kumar Morthi, 28, beralamat di Batu Caves, Gombak, mati ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, manakala rakannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai