Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ordinan berita palsu langgar hak untuk dapat perbicaraan adil - Proham

Ordinan berita palsu yang diperkenalkan tanpa melalui sidang parlimen boleh memberi kesan terhadap prosedur jenayah sedia ada dan melanggar hak individu mendapatkan perbicaraan yang adil, kata Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

"Ordinan Darurat tersebut memberikan kuasa yang berlebihan kepada pihak berkuasa dan juga menjauhkan diri dari undang-undang bukti biasa yang bersangkutan kerana ia telah melanggar hak untuk perbicaraan yang adil," katanya dalam kenyataan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, yang berkuatkuasa pada 12 Mac memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebar "berita palsu" berkaitan pengisytiharan darurat dan Covid -19.

Menurut Seksyen 10 ordinan tersebut, undang-undang ini melangkaui Akta Keterangan 1950, yang merupakan undang-undang dasar mengenai pengendalian bukti bagi kes-kes jenayah biasa.

Sebaliknya, ordinan tersebut memberikan definisi tersendiri mengenai bagaimana sesuatu bukti dikendalikan di mahkamah.

Ini termasuk membenarkan bukti yang diperoleh dengan apa cara sekalipun untuk diterima, membenarkan bahan alternatif bagi bukti yang tidak dikemukakan di mahkamah dan menerima salinan dokumen yang bertentangan dengan yang asli.

Proham berkata tafsiran "berita palsu" terlalu luas dan boleh menyebabkan ia disalahguna.

"Tambahan pula, definisi berita palsu  tidak dijelaskan dengan jelas dan terlalu luas yang melanggar hak asasi manusia yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Jelasnya lagi berita palsu perlu dibanteras dengan cara mendidik masyarakat dan ditangani berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. 

"Lebih-lebih lagi, ada peruntukan undang-undang yang cukup iaitu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang dapat digunakan untuk mengatasi kesalahan informasi dan oleh itu, tidak ada keperluan untuk Ordinan Darurat yang baru ini," jelasnya.

Justeru itu Proham berkata ordinan baru itu perlu dibatalkan dan mengulangi gesaan agar sidang parlimen diadakan.

"Proham rasa terganggu kerana Ordinan Darurat ini tidak langsung dibentangkan di Parlimen dan Proham meminta kerajaan untuk menjalankan persidangan Parlimen walaupun terdapat Pengisytiharan Darurat," tegasnya.

Parlimen digantung sejak darurat dikuatkuasakan pada 11 Januari dan hanya akan berakhir pada Ogos depan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Proham, Michael Yeoh, timbalan pengerusinya, Denison Jayasooria, setiausaha agungnya Khoo Ying Hooi dan ahli exco, Kuthubul Zaman Bukhari.

'Ordinan darurat kembalikan semula aktaberita palsu'

Sementara itu, Human Rights Watch berkata Ordinan berita palsu akan menghidupkan semula undang-undang anti berita palsu yang telah dimansuhkan.

Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan telah memansuhkan Akta Antiberita Palsu pada tahun 2019.

“Ordinan baru ni mengandungi banyak perkara yang salah dengan undang-undang lama dan akan menyekat perbincangan yang sangat diperlukan mengenai pandemik tersebut dan bagaimana ia ditangani oleh kerajaan Malaysia," kata penasihat undang-undang di Human Rights Watch bahagian Asia, Linda Lakhdhir dalam satu kenyataan.

Lakhdir menggesa kerajaan menarik balik ordinan tersebut kerana ia akan menghalang perbincangan mengenai Covid-19 dan pengisytiharan darurat di kalangan rakyat biasa.

“Memandangkan hukuman berat yang dikenakan sedang menanti mereka, ordinan baru itu akan menjadikan rakyat biasa takut untuk membincangkan hal Covid-19 dan pengisytiharan darurat.

"Dengan istilahnya yang tidak jelas, ordinan tersebut boleh disalahgunakan.

“Kerajaan harus menarik balik ordinan yang dianggap tidak wajar ini dan menangani salah faham mengenai Covid-19 dengan maklumat yang tepat, bukannya membuat pendakwaan jenayah,” katanya.