Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Gerakan main propaganda Umno dan PH bakal bergabung- Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata Presiden Gerakan Dominic Lau mempamerkan artikel berita palsu ketika persidangan perwakilan nasional parti itu hari ini.

Lau ketika berucap dalam persidangan itu pagi ini menunjukkan beberapa tajuk utama akhbar melalui paparan skrin yang didakwanya membuktikan Pakatan Harapan (PH) dan Umno bakal bekerjasama.

Artikel dalam bahasa Cina yang ditunjukkan Lau memetik kenyataan ahli jawatankuasa pusat DAP, Lim Kit Siang dengan tajuk "Saya tidak pernah kata Najib korup".

"Lim Kit Siang kata bahawa dia tak pernah katakan bahawa Najib terlibat dalam rasuah. Ini perkara-perkara telah berlaku saudara saudiri.

"Ini maksud apa? Ini maksud Umno kemungkinan besar akan bersama Pakatan Harapan," kata Lau.

Berikutan itu, Najib menerusi laman Facebooknya bertanya secara sinis apakah Gerakan cuba membantu Perikatan Nasional (PN) atau Lim benar-benar berkata demikian?

"Eh presiden Gerakan ini buat propaganda menipu gambar edit untuk bantu PN ataupun uncle Kit Siang benar-benar pernah kata bahawa dia tak pernah tuduh saya terlibat dengan rasuah?" soal Najib.

Di ruangan komen hantaran itu Najib berkata dia menerima maklumat bahawa artikel dalam bahasa Cina yang ditunjukkan oleh Lau adalah palsu.

"Saya diberitahu bahawa presiden Gerakan menggunakan surat khabar Cina yang telah diedit dan ditukar headline untuk bermain propaganda bahawa PH dan Umno bakal bergabung dalam Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan pagi ini yang turut disertai secara maya oleh PM ke-8," kata Najib.

Artikel sebenar diterbitkan oleh Sin Chew Daily pada 14 Julai 2019 bertajuk "Saya tidak pernah mengatakan Dr Mahathir Mohamad adalah rasuah".

Gerakan mengadakan Persidangan Perwakilan Nasional parti itu ke-49 hari ini di Kuala Lumpur. 

Parti itu meninggalkan BN pada 2018 dan menyertai PN pada Februari.