Konsep kerusi tradisi tak lagi wujud - Presiden Gerakan
Konsep “kerusi tradisi” tidak lagi wujud buat Gerakan di saat parti itu menuju PRU ke-15, kata presidennya Dominic Lau.
Dalam ucapan dasarnya pada persidangan perwakilan nasional tahunan yang ke-49 parti itu hari ini, Lau berkata keadaan politik negara sudah berubah dan Gerakan perlu menyesuaikan dirinya.
“Saya nasihatkan ahli untuk lupakan konsep kerusi tradisi atau kawasan tradisi untuk mana-mana parti.
“Tiada lagi kerusi tradisi. Tiada lagi ‘tai kor’ (abang besar),” kata Lau.
Gerakan diasaskan pada 1968 dan dengan pantas mendakat kuasa di Pulau Pinang. Ia menyertai Perikatan pada 1972 sebelum gabungan itu dijenamakan semula sebagai BN.
Sebagai ahli gabungan BN, ia banyak tertumpu di Pulau Pinang tetapi turut diperuntukkan sejumlah kerusi di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Semasa PRU 2018, Gerakan kalah teruk apabila gagal menang walau satu kerusi. Ekoran itu, parti itu keluar daripada BN dan menyertai PN Februari tahun ini.
Walaupun Gerakan kini berpayung di bawah PN, Lau memberi peringatan kepada ahli parti supaya bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan yang mungkin berlaku selepas PRU.
“Mungkin kita akan melihat parti-parti gabungan bersaing sesama sendiri, atau gabungan kerajaan baru dibentuk.
“Dalam politik, apa saja mungkin berlaku … Oleh itu, rakan-rakan, anda mesti bersiap sedia untuk segala kemungkinan,” katanya.
Kata Lau, dia sedar masih ada yang ragu-ragu dengan keputusan parti untuk menyertai PN.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa keputusannya itu dibuat setelah banyak berunding dengan kepemimpinan parti serta mengambil kira keadaan semasa.
Katanya lagi, PN bukan seperti gabungan lain, dengan membangkitkan PH yang menurutnya hanya mempunyai satu matlamat, iaitu menjadikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Mereka tak kisah akan rakyat atau kebajikan. Visi PH adalah ‘kukuh dan meyakinkan’ - mereka mahu bersemayam di kerusi perdana menteri.
“Sebaliknya, matlamat PN adalah untuk menyelamatkan negara daripada pihak yang tamak dan gila kuasa. PN ditubuhkan demi rakyat, untuk menjaga mereka dan menjadi pilihan terbaik mereka.
“(PN) tiada korupsi, tiada skandal, tiada dinasti, dan tidak ada muka-muka lama yang sama,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai