Menteri: Ordinan berita palsu hanya sentuh Covid-19, darurat
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang berita palsu hanya akan menumpukan kesalahan berkaitan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat.
Saifuddin juga berkata, kesalahan tersebut tidak akan diletakkan di bawah akta-akta lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) atau Akta Hasutan.
"Hasrat kami hanyalah untuk mengawal penyebaran berita palsu berhubung dua perkara secara khusus, iaitu Covid-19 dan proklamasi darurat.
"Akan ada perdebatan sama ada ia (ordinan) bersamaan dengan mana-mana akta.
"(Tapi) saya tidak mahu pergi terlalu jauh hingga ke situ kerana tujuan kita sangat jelas - kita hanya fokus kepada berita palsu (berkenaan) Covid-19 dan darurat," katanya ketika sidang media bagi menjelaskan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.
Katanya, pihak yang meminta jaminan yang ordinan tersebut tidak akan disalah guna membangkitkan soalan bersifat politik.
"Itu soalan politik, bukan soalan perundangan," katanya.
Saifuddin juga berkata ordinan tersebut tidak akan digunakan terhadap mereka yang telah didakwa sebelum ini berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.
Sidang media diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.
Ordinan tersebut yang diwartakan kerajaan semalam dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.
Ia mengundang kebimbangan sejumlah pihak, termasuk Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) yang menggesa kerajaan tidak menggunakan proklamasi darurat untuk menutup sebarang kritikan terhadapnya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula berpendapat ia sebagai langkah kerajaan untuk mengawal naratif di media.
Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan bahawa ordinan ini tidak akan diteruskan selepas proklamasi darurat berakhir, yang dijadual 1 Ogos ini.
"Perkara 150 klausa 7 mengatakan bahawa jika ordinan darurat ini tak dibatalkan oleh Parlimen lebih awal, maka tempoh hayatnya ialah enam bulan daripada tarikh berakhirnya darurat.
"Kalaulah darurat tak disambung, jadi ordinan-ordinan yang tak dibatalkan lebih awal ini masih sah selama enam bulan (selepasnya). Tapi tak boleh tak ada (sidang) Parlimen, mesti ada," katanya.
Saifuddin pula berkata, jelas bahawa ordinan tersebut hanya mempunyai tempoh penguatkuasaan selama enam bulan selepas darurat tamat.
"Sekali lagi pengkritik berlebihan dalam hujah mereka...(Ordinan ini) tidak akan (digunakan) selama-lamanya," katanya.
Katanya lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdepan "perang berita palsu" pada tahun 2021 dengan "senjata" lapuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pada masa itu, kita tidak tahu lajunya berita palsu dapat disebarkan," katanya, sambil menambah peruntukan dalam ordinan itu diperlukan bagi membolehkan tindakan diambil dengan pantas.
Menurut warta kerajaan semalam, mana-mana pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.
Mereka yang disabit bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ia juga memberi pihak berkuasa akses kepada data berkomputer serta pemeliharaan data trafik laman web. Akses tersebut termasuklah kata laluan, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan.
Berikut adalah dokumen penuh Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai