Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

CIJ: Takrifan tak jelas 'berita tidak benar' buka ruang salah guna

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa kerajaan tidak menggunakan proklamasi darurat untuk menutup sebarang kritikan terhadapnya.

Ia susulan pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang apa yang disifatkan berita tidak benar berhubung wabak Covid-19 dan darurat.

"Tanpa semak dan imbang sewajarnya di Parlimen, kuasa yang diberi kepada pentadbiran di bawah Proklamasi Darurat dan ordinan ini yang berkuat kuasa esok membayangkan usaha berterusan kerajaan untuk menggunakan apa saja cara bagi menekan hak dan kebebasan kita," kata Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu dalam kenyataan.

Menerusi ordinan itu, pihak yang terlibat dalam penerbitan dan penyebaran berita tidak benar boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ia juga memberi kuasa kepada polis - tertakluk kepada kuasa mahkamah - untuk menghapuskan berita tidak benar selain mendapat akses terhadap data berkomputer termasuk kata laluan.

"Apa yang turut membimbangkan adalah sikap oportunistik kerajaan untuk memperkenalkan semula beberapa unsur dalam Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan pentadbiran PH," katanya.

Katanya lagi, "berita tidak benar" juga tidak ditakrifkan secara jelas, dan ia membawa kepada kemungkinan salah guna.

"Penggunaan sewenang-wenangnya ordinan ini akan bertentangan dengan norma asas kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta piawaian antarabangsa, yang jelas menyatakan orang awam ada hak untuk tahu, mencari dan menerima, serta menyampaikan idea dan maklumat.

"Juster, kerajaan perlu segera menarik balik Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021," katanya lagi.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut menyuarakan kebimbangan sama, dan berkata peraturan itu tidak digubal oleh kalangan ahli Parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

"Pada permukaannya mungkin kelihatan indah dan boleh dipersetujui bersama, namun tanpa takrif 'berita palsu' yang jelas, kami bimbang ia boleh disalahgunakan.

"Penggubalan undang-undang ini juga dilihat agak kontroversi, mengambil kira pertikaian tentang keperluan pengisytiharan darurat dalam situasi ketidakpastian status majoriti pemerintah.

Justeru, kami menuntut agar segala peraturan seperti yang telah diwartakan tidak digunakan untuk menindas atau senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan," kata Geramm dalam kenyataan.