Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saksi terakhir pendakwaan sambung keterangan minggu depan

KES ZAHID l Perbicaraan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid Hamidi yang masuk hari ke-51 hari ini, bersambung Khamis minggu depan, 18 Mac.

Ini selepas saksi ke-99, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, yang juga saksi terakhir pendakwaan, tidak sempat menghabiskan bacaan pernyataan saksinya hari ini.

Khairudin merupakan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat aduan penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi oleh Ahmad Zahid.

Hari ini, dia mengambil masa beberapa jam untuk mengesahkan ratusan dokumen di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ini termasuklah dokumen maklumat Yayasan Akalbudi; cek untuk pembayaran polisi insurans dan cukai jalan kenderaan, serta cek dan penyata kad kredit untuk pembayaran penggunaan kad kredit Ahmad Zahid dan isterinya Hamidah Khamis.

Untuk pembayaran kad kredit, Khairudin mengesahkan pembayaran RM1,362,037.81 melalui 43 keping cek menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar penggunaan tiga kad kredit daripada AmBank Islamic, Maybank dan American Express.

“Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi ketiga-tiga kad kredit ini didapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan didapati ada pembayaran yang menggunakan wang Yayasan Akalbudi yang dibayar melalui cek Affin Bank milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016,” katanya.

Kata Khairudin, Ahmad Zahid mempunyai dua kad kredit daripada AmBank termasuk empat kad tambahan untuk Hamidah, dua kad kredit Maybank dan satu kad American Express.

Kata Khairudin juga, sebanyak RM107,509.55 wang milik Yayasan Akalbudi digunakan untuk membayar polisi insurans dan cukai jalan untuk 20 kenderaan milik Ahmad Zahid, isterinya dan pihak lain, menerusi tiga keping cek.

Pasukan pembelaan pernah mengasak bekas setiausaha Ahmad Zahid kerana dikatakan menggunakan cap tandatangan Ahmad Zahid pada cek Yayasan Akalbudi bagi membayar hutang kad kredit Ahmad Zahid tanpa kebenarannya.

Selain itu juga, jelas Khairudin, berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), objektif asal penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk menerima dan mentadbir dana untuk membasmi kemiskinan dan peningkatan kebajikan golongan miskin.

Berdasarkan maklumat daripada setiausaha syarikat, SSM dan pemegang amanah Yayasan Akalbudi juga, yayasan itu tidak pernah menganjurkan mesyuarat agung tahunan dari 1997 hingga 2018 - semasa siasatan dilakukan.

“Kewangan dan aktiviti ditadbir urus oleh Ahmad Zahid sendiri. Pemegang amanah lain tidak tahu menahu apa-apa aktiviti yang jelas yang dilaksanakan oleh Yayasan Akalbudi.

“Malahan siapa penyumbang dana dan berapa jumlah sumbangan yang diterima juga tidak pernah dimaklumkan dan dibentangkan kepada pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang lain.

“Pemegang amanah yang lain hanya mengetahui Yayasan Akalbudi ada melaksanakan urusan kebajikan khususnya kepada penduduk kawasan Bagan Datuk yang mana melibatkan sumbangan kepada masjid-masjid dan pusat tahfiz,” kata Khairudin.

Mengikut rekod SSM, selain Ahmad Zahid, dua lagi pengarah / pemegang amanah Yayasan Akalbudi ialah Zulkifli Senteri dan Mohd Samsuri Tun, manakala setiausaha syarikatnya pula ialah Idris Kechek, meskipun ketiga-tiganya sudah meletakkan jawatan.

Kata Khairudin, pertukaran kepada pengarah dan setiausaha baru masih belum direkodkan SSM memandangkan terdapat maklumat yang belum dikemukakan semula kepada agensi itu.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi- yang mana beliau merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.