Tak mustahil Umno boleh bekerjasama dengan PH - Ku Li
Tidak mustahil Umno akan menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, ahli politik veteran itu ditanya apakah Umno berpeluang memenangi PRU sekiranya bekerjasama dengan gabungan berkenaan.
"Berpeluang (menang), manalah saya tahu, tu Tuhan je tahu.
"Tak ada yang mustahil, kalau Tuhan mahu kita menang, tetapi banyak perkara yang mesti masuk ke dalam menu. Kita hadapi pilihan raya, apa manifesto yang kita tawar iaitu khidmat dan rancangan yang kita nak bagi, harapan kepada mereka dalam lima tahun akan datang.
"Itu terpulang kepada strategi macam mana kita kemukakan cadangan-cadangan kita, menepati kehendak muda, tua, perempuan dan lelaki.
"Saya bangkit soal keabsahan kerajaan sekarang bukan saya mahu tentang perdana menteri sekarang, tidak. Soalnya orang-orang tanya saya, sah tak sah kerajaan sekarang.
"Dia kata Agong bagi angkat sumpah depan dia, sudah sah ke? Saya kata memanglah, itu tanggungjawab Agong, apa yang dilakukan Agong tu memang ikut perlembagan.
"Tetapi apakah sekarang ni dia (Muhyiddin) masih ada sokongan di dalam Dewan Rakyat, bukan soal surat sumpah. Kena 112 orang mengundi paling kurang di Dewan Rakyat," kata Tengku Razaleigh, yang lebih terkenal dengan julukan Ku Li itu.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata adalah penting untuk memastikan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
"Kalau tak ada 112, out you go.
"Jadi kenalah orang yang memegang jawatan sekarang berani menghadapi Dewan Rakyat, pilihan rakyat, menentu sama ada dia ada sokongan atau tidak. Kalau dia kekal ada sokongan jalanlah, takkan ada siapa rebut kedudukan itu.
"Tetapi kalau dia sudah rasa tidak ada lagi sokongan, berhentilah, mengikut perlembagaan.
"Itu perlembagaan kita, kita semua patuh perlembagaan, kita semua angkat sumpah dari Agong sampai ke bawah. Kita kena pertahankan apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan. Kalau tak ada sokongan you get out lah," kata wakil rakyat selama 12 penggal itu.
Tengku Razaleigh berkata, ramai berpendapat bahawa pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah, tidak boleh diturunkan sebagai calon pilihan raya akan datang.
"Saya tak boleh cakap apa yang perlu diperbaiki, saya nak dengar daripada ahli-ahli Umno apa yang dia rasa patut dibaiki dan juga daripada pandangan rakyat sendiri yang ada hak mengundi.
"Saya dengar cakap-cakap mengatakan elok kita adakan barisan pimpinan untuk ditawar berkhidmat bagi rakyat di kawasan masing-masing, orang yang tak ada terlibat dengan kes mahkamah. Ini salah satu," katanya.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan PH bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya umum akan datang setelah parti Melayu itu memutuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai