Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Najib: K'jaan perlu jelaskan isu projek solar agar Sultan Johor tidak murka

Ahli Parlimen Pekan Najib Razak menggesa kerajaan menjelaskan ketiadaan maklum balas atau kelulusan berhubung projek tenaga solar yang diumumkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu lalu.

Gesaaan itu hadir selepas Sultan Ibrahim semalam membatalkan majlis pecah tanah untuk Taman Solar Sultan Ibrahim yang dijadualkan pada 23 Mac susulan tiada respons daripada kerajaan berhubung cadangan tersebut.

"Kerajaan PN (Perikatan Nasional) perlu menjelaskan secara umum kenapa tidak memberi maklum balas atau kelulusan bagi projek ini agar DYMM Sultan Johor tidak murka dan rakyat Johor tidak rasa dipinggirkan kerajaan pusat.

"Tiada sebab kenapa projek di Pengerang ini tidak diluluskan sekiranya projek ini menggunakan dana swasta dan dibina di atas tanah swasta atau kerajaan negeri," kata Najib di Facebook.

Sultan Johor mengumumkan projek bernilai RM1.4 bilion di Pengerang, Kota Tinggi, itu pada 1 Mac. Ia direncana menjadi yang terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti 450 megawatt.

Bagaimanapun, pihak berkepentingan dan penerima manfaat projek yang dicadangkan masih belum jelas.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah, majlis pecah tanah telah dibatalkan setelah Putrajaya gagal memberi respons terhadap projek itu.

"Saya nampak tidak ada alasan mengapa kerajaan persekutuan tidak boleh memberikan peluang kepada Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik yang mesra alam ini.

"Kita ada kawasan tanah yang sesuai, pembangunan yang pesat di negeri ini dan permintaan daripada negara jiran, menjadikan Johor sebagai lokasi yang paling strategik" titah baginda.