Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saksi kata sumbangan wang tunai bukan dari Yayasan Al-Bukhary

Wang yang diterima oleh pengurup wang, Omar Ali Abdullah, yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram Ahmad Zahid Hamidi bukan disumbangkan oleh Yayasan Al-Bukhary, dakwa saksi.

Menurut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Amirudin Nordin, Yayasan Al-Bukhary memang pernah membuat sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

Tetapi katanya sumbangan itu dibuat dalam bentuk cek, bukannya dalam bentuk tunai.

Malah, dia juga berpendapat sekiranya ada pihak yang ingin memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi, mereka sebenarnya boleh berbuat demikian secara langsung tanpa perlu melalui pemegang amanah.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Harris Ong: Peguam (bela) cadangkan kepada anda bahawa Omar Ali dalam pernyataannya mengatakan bahawa wang tunai yang diterima adalah daripada sumbangan badan Yayasan Al-Bukhary. Ada apa anda ingin jelaskan daripada cadangan tu?

Mohd Amirudin: Saya tak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana Yayasan Al-Bukhary ada memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi sebanyak RM5 juta. Tetapi dalam bentuk cek.

Ahmad Zahid merupakan pemilik Yayasan Akalbudi serta pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Yayasan Al-Bukhary merupakan yayasan yang diasaskan dan dipengerusikan hartawan Syed Mokhtar Albukhary.

Untuk rekod, Omar Ali ialah saksi ke-81 yang hadir memberikan keterangan pada Julai tahun lalu. Dia memiliki perniagaan Marhaba Enterprise Sdn Bhd yang menawarkan perkhidmatan tukaran wang asing di Fahrenheit88, Kuala Lumpur.

Lelaki berbeza, berpakaian kemas

Mohd Amirudin ialah pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes pengubahan wang haram Ahmad Zahid, termasuk salinan-salinan cek dari pelbagai bank yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengubahan wang haram itu, yang kesemuanya dikreditkan ke akaun Lewis & Co.

Semasa pemeriksaan utama sebelumnya - juga oleh Harris Ong - Mohd Amirudin memeriksa salinan cek yang diterimanya semasa siasatan dan dia turut mengesan pemilik-pemilik cek berkenaan.

Mohd Amirudin berkata, dia mengelaskan kesemua cek yang terlibat dalam pertuduhan pengubahan wang haram Ahmad Zahid kepada beberapa kategori, termasuk kategori untuk “sumbangan” dan ada juga kateori untuk “melobi projek”.

Bagaimanapun semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh, Mohd Amirudin tidak bersetuju bahawa cek-cek “sumbangan” kepada Lewis & Co itu benar-benar merupakan satu bentuk sumbangan.

Hal itu dijelaskan semasa pemeriksaan semula oleh Harris Ong.

“Saya tak bersetuju kerana sekiranya (mereka) ingin membuat sumbangan, ia boleh dilakukan terus ke akaun Yayasan Akalbudi dan tak memerlukan Lewis & Co sebagai pemegang amanah,” katanya.

Dalam pernyataan saksinya tahun lalu, Omar Ali memberitahu, Ahmad Zahid memintanya menguruskan wang tunai ke akaun Yayasan Akalbudi sebelum kemudiannya meminta dia memasukkannya ke akaun Lewis & Co.

Kata Omar Ali, Ahmad Zahid memberitahunya bahawa wang tunai itu disumbangkan oleh Yayasan Al-Bukhary dan dia akan dihubungi oleh penyumbang tersebut untuk diberikan wang tunai berkenaan.

Menurut Omar dia tidak mengenali lelaki-lelaki yang berhubung dengannya, dan setiap urusan pemberian wang juga dilakukan oleh lelaki berbeza yang berpakaian kemas.

Omar Ali berkata, jika ada kawan-kawannya yang mahu menggunakan wang tunai atau mahu membuat tukaran wang asing, dia meminta mereka memberikan cek kepadanya sebagai tukaran dengan wang tunai yang dia berikan.

Cek-cek itu kemudiannya dibayar kepada Lewis & Co.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

'Zahid ada kepentingan di atas semua sijil simpanan'

Menurut Mohd Amirudin, hasil siasatannya, dia menemukan 25 sijil simpanan tetap yang masih aktif di bawah Lewis & Co. Simpanan tetap itu, katanya didapati dibeli firma itu mengikut prosedur yang betul.

Namun, katanya, Ahmad Zahid merupakan pihak yang mempunyai kepentingan ke atas semua sijil simpanan tetap berkenaan.

Kata Mohd Amirudin juga, semasa rakaman percakapan, rakan kongsi Lewis & Co, B Muralidharan berkata dia menerima arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan kesemua cek tersebut kepada simpanan tetap.

Semalam, Mohd Amirudin sebagai saksi ke-96, mengambil masa tiga jam bagi mengesahkan 406 dokumen berkenaan pertuduhan pengubahan wang haram Ahmad Zahid.

Ia termasuklah cek, salinan cek, draf permintaan, surat, resit, borang dan slip deposit yang diperoleh daripada dua fail merah jambu milik Lewis & Co.

Dua fail itu bertulis “Yayasan Al-Falah” dan “Client: Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi”.

Muralidharan yang hadir sebagai saksi ke-87 tahun lalu memberitahu, Ahmad Zahidlah yang mengarahkan pembukaan akaun pelanggan untuk Yayasan Al-Falah serta pembukaan fail Yayasan Al-Falah di firma berkenaan, bukan yayasan itu sendiri.

Yayasan Al-Falah dipengerusikan adik kandung Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi. 

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-50 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, bersambung esok.