Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lombong bitcoin di Gua Musang terbongkar, TNB rugi RM2.5 juta dalam setahun

Aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk melombong bitcoin di Gua Musang yang mengakibatkan kerugian RM2.5 juta dalam tempoh masa setahun dibongkar pihak polis.

Kegiatan itu dikesan di enam premis rumah kedai di sekitar bandar Gua Musang iaitu tiga di Bandar Utama dan satu premis masing-masing di Bandar Baru, Wisma Sri Galas dan Taman Sri Cindai, pada 3 dan 4 Mac lalu.

Sindiket itu dikesan selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesan penggunaan elektrik yang tinggi di enam premis berkenaan sebelum serbuan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, dan JSJK IPK Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dan kali pertama dikesan di negeri itu dengan modus operandi menyewa premis bangunan sebelum menyambung arus elektrik secara haram.

"Hasil pemeriksaan turut merampas 363 unit mesin melombong bitcoin di premis rumah kedai terbabit bernilai RM500,000.

"Pada serbuan itu juga, tiga suspek dalam lingkungan 20-an berjaya ditangkap dan direman sehingga 9 Mac ini,” katanya dalam kenyataan media di IPD Gua Musang, hari ini.

Sementara itu Shafien berkata, siasatan juga mendapati satu unit mesin melombong bitcoin itu mampu menjana nilai sebanyak RM300 sebulan.

"Akibat kegiatan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB tetapi ditanggung kerajaan Malaysia dan rakyat yang terganggu dengan penggunaan arus elektrik.

"Saya menyeru orang ramai jika mempunyai maklumat berkaitan sindiket bitcoin itu boleh menyalurkan kepada pihak polis atau TNB. Kita tidak boleh biarkan kerana sindiket ini menyebakan kerugian besar. Dalam tempoh setahun, TNB rugu RM2.5 juta akibat kegiatan mencuri elektrik," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.